Sabtu, 11 Oktober 2014

[ Cerpan ] Tuhan Lebih Tahu

Bismillah..

*Rasa berat pulak bila dah publish entri tentang BAJET 2015. Relakskan minda dengan publish semula cerpen (entri pertama) yang sudah masuk ke dalam draft sebelum ini. Dalam satu malam *mataFengYi* ku menaip menghabiskan cerpen ini 2 tahun yg lalu hanya sekadar menghilangkan gian menulis.

*Sungguh, watak adalah rekaan semata, tiada kena mengena dengan sesiapa pun.

*Mungkin lebih sesuai dituliskan sebagai CERPAN : Cerita Panjang. Ku memang tak pandai nak pendek-pendekkan cerita (>.<)

*Lepas baca, jangan keberatan meninggalkan sebarang maklumbalas/komen untuk ku perbaiki lagi gaya penulisan atau ada sebarang permintaan watak kerana sekarang dalam proses membuatkan Cerpen Bersiri berunsurkan dunia klasik :) memerlukan idea untuk watak yang mendatang *sigh*

*maaf atas kekurangan, typo, kesilapan maklumat/info dan salah silap susun atur ayat. Ku malas nak baca balik *sendiri tak larat baca* (T__T)

credit. Klikk sini :)

“DARI awal aku kahwin dengan kau, hantaran, maskahwin, bayar majlis itu ini, sikit pun aku tak kisah. Perbelanjaan harian, duit lesen memandu dan semuanya tapi kalau dah perangai kau macam ni, kau ingat aku nak hadap sangat muka kau hari-hari? Sudahlah aku saja yang kena usahakan semua. Asal tak ada itu ini, kerja kau meminta saja!”

            Adira menyapu air mata yang berlinang. Dia baru saja berpantang selepas bersalin 2 minggu. Apakan daya, dia masih belum larat mahu menyelesaikan kerja-kerja rumah. Pernah digagahkan juga tapi akhirnya seluruh tubuhnya sakit. Hanya seminggu sahaja dia berpantang di rumah neneknya sebelum mengikut suaminya pulang ke rumah mereka. Anak pertama mereka dijaga oleh kakaknya di Penang sementelahan kakaknya mempunyai 4 orang anak yang lain.

            “Mesin basuh tu rosak. Ira tak larat nak cuci dengan tangan. Tak tahan pegang air berlama-lama. Sejuk,” balas Adira, perlahan. Cuba membetulkan tanggapan Zaquan. Dia memang tak betah berlama-lama menyentuh air kerana segenap uratnya akan terasa sakit dan dia akan lemah.

            “Itulah. Aku cakap sikit, menjawab! Cubalah mengaku salah sendiri! Aku tengok orang lain pantang, elok je. Paling-paling pun seminggu tidak buat kerja langsung. Tak adalah mengada sangat macam  kau ni. Kalau dah tak larat nak basuh sendiri, hantarlah ke dobi! Tiap bulan aku bagi duit, kau buat apa dengan duit tu? Cubalah berusaha sendiri. Jangan nak harap kat suami saja!”

            “Maaf, abang..”

            “Dari dulu sampai sekarang, maaf sajalah yang kau tahu. Tapi sampai sekarang, sama saja hasilnya! Jadi, macamana ni? Aku ada kursus 4 hari, takkan nak pergi sehelai sepinggang?! Sebakul baju aku tak berbasuh,” suara Zaquan makin meninggi. Beg baju di hadapannya dicampak ke lantai. Kedengaran suara bayi menangis dari tingkat bawah.

            “Tapi, masih ada baju abang dalam almari kan? Adira dah gosok semua,” Adira tidak berputus ada. Dia cuba menyejukkan hati suaminya. Dalam hati, kesalnya menggunung kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawabnya sebagai isteri yang sempurna. Almari yang terbuka itu dihampiri. Beberapa helai baju suaminya yang sudah bergosok dicapai.

            “Aku ni nak pergi lama. Kursus tu pulak kebanyakannya dari golongan atasan. Kalau setakat kemeja-kemeja biasa ni, macamana aku nak jaga wibawa aku depan diorang? Nanti orang kata aku ni laki takut bini pulak! Main taram je apa yang bini bagi pakai,” tukas Zaquan sambil menepis baju yang dihulurkan Adira hingga tercampak ke lantai. Kata-kata suaminya itu ada kebenarannya. Adira menahan air mata dari tumpah buat kesekian kalinya. Sungguh dia merasa berdosa dan di dalam masa yang sama, dia sedikit terluka mendengar bahasa diri yang kasar. Tiada lagi, abang dan sayang mahupun Adira atau Ira. Semuanya berubah semenjak dia mengandung kali kedua. Mengalami alahan yang teruk hingga kadangkala, makan minum suaminya sedikit terabai. Apalagi, dia tidak boleh membau sebarang makanan. Dia akan loya, sakit kepala dan pening serta muntah-muntah.

            Tangisan anaknya, Qaid Rauf semakin nyaring. Dia memandang ke arah anak tangga. Pilu bertambah bila mendengar tangisan itu namun mana mungkin dia akan pergi begitu saja meninggalkan suaminya yang sedang dalam keadaan murka.

            “Kau tak payah buat muka sedih la. Aku dah muak tengok kau menangis. Marah sikit, menangis. Merajuk. Bawa diri. Macam itulah perempuan! Pergilah! Pergi tengok anak kau tu. Sama macam mak dia. Memekak setiap malam sampai aku tak boleh nak tidur! Kau ni harap je dah ada anak dua tapi perangai tu sama, tidak pernah berubah. Macam tidak pernah ada anak! Pergilah!” Zaquan melenting. Tadi dia kelam kabut pulang dari tempat kerja selepas mendapat arahan untuk ke Langkawi segera menggantikan rakan setugasnya yang sakit. Balik-balik dalam keadaan penat, isterinya sedang tidur di sofa. Meja kosong tanpa makanan dan sekarang, bajunya berlambak tidak berbasuh. Memang ada beberapa helai yang masih tersusun elok di dalam almari namun untuk dibawa ke kursus selama 4 hari, itu mustahil. Dia perlu menjaga penampilannya.

            “Aku kata, pergi!!” tengking Zaquan bila dilihat Adira masih menikus di hadapannya. Tegak tidak bergerak sekalipun Rauf sudah menangis menggila di tingkat bawah.

            “Maafkan Adira..” Adira sudah melutut.

            “Aku tak perlukan perkataan maaf. Aku perlukan pembuktian dari kau yang kau ni berperangai selayaknya sebagai seorang isteri!” Zaquan bersuara tegas sambil menolak tangan isterinya yang sudah mencecah lututnya. Dia menapak pantas keluar dari bilik tidur mereka dan menuruni anak tangga dengan beg bimbit berisi barangan penting. Di sudut hati, dia tidak dapat mengawal amarahnya ditambah lagi dengan rasa penat dan tekanan di tempat kerja yang menghambat kesabarannya selama ini.

            “Abang..” Adira memanggil lemah. Tidak mampu berdiri untuk mengejar kemaafan suaminya. Dia takut jika suaminya melangkah keluar dalam keadaan murka, dia akan dilaknat oleh seluruh makhluk di muka bumi ini malah malaikat tidak akan melindunginya dan yang paling ditakuti, Allah berlepas tangan darinya. Jika Allah berlepas tangan dari hambaNya, maka keselamatan dan kesejahteraan dunia akan hilang daripadanya apalagi kesejahteraan di akhirat sana.

            Tombol pintu dipulas. Zaquan sempat mengerling ke arah anak lelakinya yang masih menangis di atas tilam. Separuh hatinya merasa kasih pada anaknya. Ingin saja dia mencium anaknya sebelum pergi namun separuh hatinya sudah terlalu kecewa dengan sikap isterinya yang kadangkala seakan tidak endah dengan perasaan dan hatinya. Akhirnya dia pergi dengan hati yang keliru.


3 HARI DI Langkawi, Zaquan merasa sungguh tenang sekali. Kursus kulinari itu bukan sekadar diadakan di dalam dewan saja tapi mereka dibawa mengelilingi ke seluruh pulau. Dalam tidak sedar, dia menyenangi dengan sikap seorang juniornya, Qasidah. Perempuan itu berperwatakan ceria dan menyenangkan hati. Qasidah sering merujuk kepadanya jika mengalami sebarang masalah. Perkenalan mereka di tanah Mahsuri itu sedikit sebanyak menghilangkan kegalauan hatinya di rumah.

            “Encik Zaquan, ada orang telefon tu,” Qasidah menunjuk ke arah telefon bimbit Zaquan yang bergetar di atas meja. Zaquan melihat ke arah skrin telefon. Nombor telefon isterinya. Dia membiarkan saja. Dia tidak mahu saat tenangnya di situ diganggu. Biarlah mereka berhenti berhubung buat seketika. Mungkin itu lebih baik buat masa ini. Mesej-mesej dari Adira juga tidak dibalas. Kata-kata maaf itu dibiarkan sepi malah kadangkala mesej-mesej itu dipadam tanpa dibuka.

            “Nampak macam ada masalah je?” tebak gadis itu. Zaquan hanya tersenyum. Malas mahu membangkitkan hal yang tak perlu dibangkitkan. Kuliah tentang jenis-jenis makanan seluruh dunia baru sahaja tamat dan mereka sedang menunggu bas untuk pulang ke chalet.

            “Boleh saya tanya sikit?”

            “Tanyalah. Banyak pun takpe. Sebelum ni bertanya tidak pernah nak minta izin pun,” seloroh Zaquan membuatkan Qasidah tersenyum malu. Dia sangat menyenangi tenaga pengajar di hadapannya itu.

            “Encik Zaquan dah kahwin,sudah berpunyaatau masih ada ruang kosong?” terluncur soalan yang tiada kena mengena dengan kursus itu dari bibir mungil Qasidah membuatkan Zaquan sedikit tersentak. Anak mata gadis yang masih menuntut di sebuah IPTA itu dipandang. Mencari maksud di sebalik soalan itu.
            “Qasidah rasa, macamana? Muka saya ni dah nampak macam orang berkahwin ke belum?” sengaja Zaquan membalas dengan teka-teki. Qasidah mengalih pandang ke tepi. Malu bertentang mata dengan lelaki yang hanya 4 tahun lebih tua darinya sekalipun mereka duduk di meja yang berlainan di restoran tertutup itu. Malah, mereka bukan berduaan tapi bersama-sama dengan 30 orang peserta lain yang sedang bersembang sesama mereka. Hingar bingar restoran itu dibuatnya.

            “Kalau dah nampak macam bapak orang, memang saya takkan tanya, Encik Zaquan,” balas Qasidah sambil tersenyum nipis tanpa memandang ke arah lelaki yang mengusik hatinya itu. Esok, mereka akan berpisah kerana kursus bakal berakhir. Dia mahukan kepastian kerana dari raut wajah lelaki itu dan cara pandangannya, dia rasa dia tidak bertepuk sebelah tangan.

Zaquan tersenyum. Walaupun dia berusia 27 tahun namun dia masih kelihatan seperti budak remaja yang masih menuntut ilmu di kolej ditambah lagi dengan penampilannya yang serba ringkas dan sederhana. Belum sempat dia menyambung perbualannya dengan Qasidah, dia dihampiri Khusyairi, rakan sejawatnya dengan wajah yang cemas. Lengannya diraih, menjauhkan sedikit jarak dengan orang lain. Dia sempat mengangkat tangan pada Qasidah tanda meminta untuk beredar dan gadis itu membalas dengan anggukan. Jelas riak wajahnya yang sedikit hampa.

            “Apasal kau ni?” soal Zaquan setelah mereka berdiri jauh dari orang ramai. Wajah cemas kawannya yang sedang termengah-mengah minta oksigen dipandang hairan. Khusyairi menepuk-nepuk bahunya.

            “Aku harap kau tenang dan sabar.”’

            “Apahal?” dada Zaquan mula berombak kencang. Hatinya terasa gundah tiba-tiba.

            “Adira kemalangan. Dia kat wad ICU Sungai Buloh sekarang.” Dan, Zaquan terpempam tanpa kata.


HATINYA HIBARasa bersalah meracuni jiwanya. Kacau. Melihat isterinya yang terlantar tidak bermaya dengan wajah yang pucat. Rasa bersalah itu cuba diusir. Sudah ketentuan Tuhan, hatinya dipujuk. Longlai langkahnya melangkah keluar dari wad ICU itu. Wajah Tunku Sahara dipandang sayu. Dipandang pula pada kakak iparnya yang sedang mendukung Raudah, anak pertamanya. Teringatkan cerita kakak iparnya itu ketika dia dalam perjalanan masuk ke wad.

            “Entah gila agaknya si Adira tu memandu tengah-tengah pantang macam ni. Sudahlah tekanan darah dia tinggi! Akak dah suruh dia upah orang tolong jaga dia, pantang-pantang macam itu manalah larat nak buat kerja. Apalagi memandu. Waktu pantang tu urat-urat semua tak elok lagi. Nak tengok tv pun tak boleh apalagi nak memandu. Lepastu, anak ditinggal sahaja kat rumah jiran. Dibawanya kain berbakul kat belakang kereta. Nak hantar ke dobi agaknya tu. Itu mesti dah tak jaga makan. Entah bertungku entah tidak.”

            Berterabur bebelan kakak iparnya itu membuat dia bagai disiat hidup-hidup. Pasti isterinya itu gagah menghantar baju ke dobi dan membeli barang dapur kerana menurut kakak iparnya, bonet kereta penuh dengan barangan dapur yang baru dibeli. Kereta remuk di hadapan apabila terbabas ke bahu jalan, merempuh pembahagi jalan & terus terjunam ke dalam takungan air. Mujurlah ketika itu Rauf tiada di dalam kereta, kalau tidak.. dia tidak dapat membayangkannya.

 Dia akui, hatinya semakin tawar sejak Adira mula sakit-sakit mengandungkan anak kedua mereka. Malah selepas kelahiran Rauf, perhatian Adira padanya semakin berkurang. Rauf dilebihkan. Zaquan tahu dia tidak patut berperasaan begitu tapi sebagai seorang suami dan seorang lelaki, sedikit sebanyak hatinya terasa dengan perubahan itu.Dia hanyut, memikirkan kepentingan diri sendiri.

 Adira ada memintanya sedikit wang untuk mengupah seorang pembantu sementara berpantang namun dia menegah sekeras-kerasnya. Apa guna seorang pembantu kalau kerjanya tidak seberat mana. Membazirkan duit. Tidak bolehkah Adira menjaga diri sendiri? Apa sangatlah yang susahnya? Sekadar memasak air untuk mandi di waktu pagi memandangkan pemanas air di rumah mereka rosak. Kemudian, bakar tungku. Makan ubat, duduk-duduk rehat, layan anak dan masak makanan ringkas yang biasa orang berpantang. Tidak perlu masak tengahari untuknya kerana dia memang sudah sedia makan di hotel tempat dia bekerja. Baju yang hendak dibasuh pun bukannya banyak. Mereka hanya berdua ditambah dengan baju Rauf yang setakatlah beberapa helai. Baginya, Adira manja. Sudah lemak dimanjakan oleh neneknya yang sebelum ini mengupah orang gaji untuk membesarkan cucunya yang yatim itu. Dan dia tidak sekaya mana pun.

“Sabarlah Zaquan. Ada hikmahnya berlaku macam ni,” Tunku Sahara menepuk bahu cucu menantunya yang kelihatan hiba. Rauf di dukungannya dihulurkan pada lelaki itu. Zaquan menyambut dengan perlahan. Air matanya tumpah di atas wajah yang sedang nyenyak tidur itu.

“Wan, akak nak kena balik ni. Jauh Penang tu. Esok Abang Haris kena mengajar,” celah Afira, kakak kepada isterinya. Zaquan sekadar mendiamkan diri. Dia buntu. Keliru. Tidak tahu mahu berbuat apa. Huluran tangan Haris, suami Afira disambut tanpa mengangkat wajah. Dia malu sebenarnya. Dia yang culas dalam menjaga isterinya sedangkan Haris yang sudah beranak empat itu kekal bahagia dengan Afira. Apalah yang dia fikirkan selama ini? Adira sudah bersusah payah mengandung dan melahirkan zuriatnya. Apa salahnya dia mengalah dan membantu meringankan bebanan isterinya.

“Buat masa ni, biarlah akak jaga Raudah. Dia pun sudah biasa dengan sepupu-sepupu dia yang lain. Tapi, hendak jaga Rauf, akak tak mampu kot. Dia pun masih menyusu dan akak memang tak menang tangan nak tengokkan dia,” ujar Afira. Ada nada serba salah di situ. Kasihan melihat adik iparnya yang kelihatan buntu dan sugul.

“Takpe. Akak dah tolong tengokkan Raudah ini Wan sudah rasa terhutang budi sangat.” Suaranya menggigil hebat. Dipandang wajah Raudah yang mirip ibunya. Rauf dihulurkan pada Tunku Sahara dan tubuh Raudah dicempung pula. Dipeluk sepuasnya dan dicium di kedua belah pipi dan dahi. Kasihnya tumpah di situ bersama air mata lelakinya. Raudah yang baru berusia 3 tahun hanya mendiamkan diri sambil memandang hairan pada ayahnya yang menangis.

Selepas Afira dan Haris beredar, dia tinggal berdua dengan Tunku Sahara. “Kamu jagalah Rauf, Wan. Nenek memang tidak terjaga baby kecil macam ni. Kalau dah besar sikit mungkin boleh. Dia anak kamu, kamu bertanggungjawablah. Sebelum balik ke rumah nanti, belilah botol susu dan susu untuk baby umur bawah 6 bulan. Beli madu sekali. Selangkan air madu dengan air susu supaya perut dia tak terkejut.” Kata-kata Tunku Sahara membuatkan dia berfikir sejenak. Dia tidak ada pengalaman menjaga budak malah sewaktu Raudah kecil dulu, tugas mendidik dan menjaga dilakukan sepenuhnya oleh Adira. Dia langsung tidak pernah menyentuh pampers anaknya apalagi menukarnya. Susu pun dibancuh oleh Adira. Dia mula terasa, betapa beruntungnya dia mempunyai Adira di sisi.

“Kalau kamu tak larat, hantarlah ke mana-mana pusat jagaan bayi. Waktu kerja ke, mesyuarat atau kursus mana-mana, upah saja orang jaga.” Bagaikan memahami apa yang bermain di benak lelaki itu, Tunku Sahara memberi nasihat. “Entah bila si Adira itu akan sedar. Kamu jangan risau, kos perubatan biar nenek selesaikan. Doakanlah isteri kamu selamat. Doa suami itu mustajab, pelindung seorang perempuan yang bernama isteri.” Zaquan tersedu lagi. Sudah lama dia tidak mendoakan isterinya sedangkan Allah sangat sukakan seorang suami yang mendoakan isteri dan anak-anaknya.

“Terima kasih, nenek.” Ucap Zaquan perlahan sambil memandang anak lelakinya itu. Fikirannya kosong..

2.15 PAGI. Zaquan menjerit sekuat hati namun perbuatannya itu hanya menambahkan lagi nada tangisan Rauf yang sudah sedia tinggi nadanya. Botol susu yang dicampak ke dinding dikutip kembali. Tubuh kecil itu dicempung ke dada dengan kekok dan puting disumbat namun ditolak dengan lidah. Rauf menangis lagi.

            “Kenapa tak nak minum? Apa bezanya susu lembu dengan susu umi? Nanti besar Rauf makan macam-macam jugak!” bagai orang gila, dia memarahi anaknya itu sekalipun dia sedar amatlah mustahil bayi itu memahami kata-katanya. Rauf terus terus menangis.

            “Waaa!!” Zaquan menangis juga sambil terduduk di lantai. “Janganlah buat ayah macam ni.. Esok ayah kerja. Tolonglah.. fahamilah ayah.”

            Setengah jam kemudian, tangisan Rauf mulai reda dan akhirnya dia tertidur di pangkuan ayahnya. Perlahan-lahan dia bangun dan meletakkan Rauf di atas tilam namun tiba-tiba botol susu yang berada di dalam ribanya terjatuh ke lantai ketika dia berdiri membuatkan Rauf tersentak hingga ternaik kedua tangan dan kakinya dan.. “Uwaaaaa!!!” Rauf menjerit sekuat hati seakan-akan didera. Zaquan mengeluh kuat. Tekanannya!!

            Segera didail nombor Khusyairi. Berkali-kali ditelefon hinggalah akhirnya berjawab juga. Suara Khusyairi kedengaran serak. Mungkin baru terjaga dari tidur. Memanglah baru terjaga dari tidur, sekarang ni pukul 2.50 pagi!

            “Kau kena tolong aku!!”

            “Apahal kau ni? Tak menyempat bagi salam. Sudahlah kacau aku rehat! Baru je sampai dari Langkawi,” rungut Khusyairi. Zaquan pulang sehari lebih awal kerana menjenguk Adira di hospital.

            “Tolonglah. Datang tolong aku sekejap! Aku dah tak tau nak minta tolong siapa lagi!”

            “Apasal ada background music kat belakang tu? Bingit siot!” Khushyairi menepuk telinga yang terasa pedih mendengar tusukan tangisan Rauf di hujung talian.

            “Aku tak tahulah. Anak aku ni tak nak berhenti menangis.”

            “Laa.. bini kau mana?”

Erk.. dua-dua terdiam. Khusyairi menampar-nampar mulutnya beberapa kali. Tersasul. Selepas berbalah beberapa ketika, Khusyairi akur dan datang ke rumah kawannya yang tidak jauh dari situ. Ketika dia sampai, Rauf masih lagi menangis.

            “Ish, kalau kita kena tangkap khalwat, macamana?” soal Khusyairi dalam mamainya. Dia mengaduh sakit apabila kepalanya diketuk dengan botol susu Rauf.

            “Hantuk kau! Aku ini lelaki, kau tu jantan. Lagipun jiran-jiran sudah lama kenal aku dengan bini aku,” marah Zaquan. Saat-saat serabut inilah nak rekacipta soalan bodoh yang menyakitkan hati.

            “Ya Allah! Kau ni!! Mana ada orang dukung budak macam ni!” Khusyairi menjerit bagai nak rak melihat Zaquan mendukung Rauf dengan sebelah tangan hingga kepalanya terlelong ke kiri ke kanan tanpa ditampung sedangkan usianya belum pun mencapai sebulan. Tulangnya masih lembut dan memerlukan sokongan yang lebih ketika dipegang.

            “Aku mana tahu. Elok je aku dukung Raudah macam ni,” ujar Zaquan sambil membiarkan Rauf berpindah tangan.

            “’Kau ni, aku yang bujang ini pun tahu macamana caranya, inikan pula kau. Bapak dua orang budak tau! Patutlah dia menangis, mesti sakit leher ni,” Khusyairi membebel sambil mengurut perlahan tengkuk bayi kecil itu. Gayanya tetap kekok walaupun teorinya hampir tepat.

            “Aduyai! Anak kau lapar agaknya. Nangis tak henti ni!”

            “Aku dah bagi botol susu, dia tak nak. Dia tolak macam ni,” Zaquan memuncungkan mulut secara membulat dan menjulur-julurkan lidahnya, meniru cara Rauf menolak bila disuapkan puting botol susu.

            “Eee.. kau tak payahlah nak buat demo. Geli aku tengok. Dah macam gaya baby dugong,” kutuk Khusyairi. Wajah cemberut kawannya tidak dipedulikan. Botol susu itu diambil dan disuakan ke mulut Rauf dan Rauf mengemamkan bibirnya hingga puting itu tidak dapat disumbat ke dalam mulutnya.

            “Susu ini tak sedap agaknya,” Khusyairi membuat andaian. Dia membuka penutup botol susu dan menyisipkan sedikit air susu itu ke dalam botolnya.

            “Erk, susu apa ni?” Khusyairi meludah ke kain lampin.

            “Entah tapi aku selalu tengok kat tv. Aku belilah.”

            “Mana susunya?”

            “Ini ha,” Zaquan menghulurkan sepeket susu yang tidak ditutup rapat ke depan muka Khusyairi.
            “Masya Allah! Susu Anlene!”

            “Hehe.. kenapa dengan susu ni? Tak sesuai ke?” Zaquan tersengih, serba salah.

            “Hantuklah kepala kau ni banyak kali kasi seimbang sikit. Agak-agaklah kalau nak bodoh sangat pun.” Wajah Zaquan berubah kelat dihina begitu namun hendak melawan, nanti dikata tidak mengenang budi. Kawannya sudi datang bercekang mata membantu pun sudah dikira untung sangat. “Kau tengoklah gambar orang tua dua ketul kat depan plastik ni. Cubalah baca penerangan dia. 50 tahun ke atas woi! Anak kau ni baru 2 minggu kat dunia ni kot. Nanti esok kita beli lain.” Zaquan tersengih.

            “Hebat jugak kau ni eh, Kucai. Apasal kau tak kahwin-kahwin?”

            “Sepatutnya kau kata macam ni, ‘dungu jugak aku ni rupanya. Apasal aku yang kahwin dulu?’ ha,  baru betul,” sindir Khusyairi lagi. Sengihan Zaquan mati. Dia menghempas tubuh ke sofa sambil memandang pasrah ke arah Rauf yang masih menangis.

            “Jadi, nak buat apa ni?”

            “Nenek mertua aku sarankan madu.”

            “Hah! Madu? Agak-agaklah kau nak madukan bini kau tu. Dia bukannya mati!”

            “Kau ni! Aku bukan cakap pasal madu tu! Aku cakap pasal air madu!”

            “Oh..” Khusyairi tergelak tanpa menyedari riak wajah Zaquan yang berubah. Dia mula membayangkan jika Adira meninggalkan dia dan dunia ini. Tidak mungkin! Dia sedar, masih banyak yang perlu dilakukan bersama, banyak yang perlu ditebus kembali.

            Mereka cuba memberikan air madu pada Rauf namun tidak henti juga tangisannya. Mereka melambung-lambung Rauf ke udara. Bayi itu diam seketika sebelum wajahnya bertukar biru dan menangis dengan dua kali ganda kuasa kuda. Mereka membunyikan loceng mainan, bercak-cak di balik sofa namun tiada hasil malah Rauf kerap tersentak bila dicak-cakkan oleh mereka. Keduanya sudah pasrah. Seorang di atas sofa, seorang terlentang di atas karpet. Rauf menangis dengan tangan yang terkapai-kapai di atas dada bidang ayahnya.

            “Anak ayah.. jangan macam ni. Sayang ayah tak?” tangisan Rauf yang semakin mereda tiba-tiba naik semula.

            “Nampaknya, dia tak sayangkan kau,” ujar Khusyairi dengan mata yang sudah tertutup. Akhirnya, mereka tertidur dalam ruang yang bersepah dengan lampin, mainan yang berterabur dan susu yang tumpah. Tidak lama selepas mereka tertidur, Rauf diam, menghisap jarinya dan tertidur di celah ketiak ayahnya di atas sofa.

“WAN!! Bangun!!” Zaquan terpinga-pinga disergah Khusyairi. Terpisat-pisat dia bangkit. Rauf kelihatan nyenyak di sisinya. Wajah tulus itu membuatkan dia terpana seketika.

            “Wan, tak sesuai kau nak buat renungan bapak mithali sekarang. Kita dah lewat ni!” marah Khusyairi yang sedang kelam kabut membasuh muka di sinki. Jam ditatap dengan mata yang membulat. Kelam kabut dia bangkit & menyempit di sebelah Khusyairi di sinki.

            “Kau kerja tak hari ni?”

            “Kerja.”

            “Eh, kau tak dapat cuti ke? Bukan ke pasal isteri kau.. erm..”

            “Lusa atau tulat baru dapat cuti sebab tiba-tiba saja hal ini kan. Lagipun katanya hari ni ada function besar.”

            “Aku panaskan enjin. Kita naik kereta aku hari ni,” Khusyairi memberi pandangan dan terus ke depan, menunaikan solat Subuh yang terlajak kemudian memakai seluar panjang menggantikan kain pelikat yang dipinjam dari Zaquan malam tadi.

            “Alamak, aku tak jumpa kunci kereta la, Wan!” Khusyairi menggelabah. Diselongkar setiap inci ruang tamu itu. Setiap barisan sofa digeledah namun tidak berjumpa.

            “Naik kereta aku sajalah!” tingkah Zaquan sambil menyembur pewangi ke tubuhnya. Tidak sempat hendak mandi.

            “Alamak! Handphone aku! Kucai, carikan jap!”

Penggeladahan kali kedua berlaku dan kali ni lebih teruk kerana telefon bimbit Khusyairi juga tidak kelihatan. 10 minit kemudian, akhirnya mereka mengalah. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa meninggalkan telefon masing-masing atau mereka akan didenda oleh Chef Rizki, eksekutif chef di Hotel Paradise Manorty.

            “Eh, itu handphone aku! Dan juga kunci kereta aku!” Khusyairi menunjuk ke arah dalam keretanya sambil Zaquan menepuk dahi berkali-kali.

            “Call nombor aku jap. Aku masuk cari balik.” Akhirnya, usaha mereka berhasil. Pagar dikunci dan kereta dipandu keluar. Ketika mereka sampai di persimpangan pertama, Khusyairi memandang kedua tapak tangannya. Kemudian dia menoleh ke tempat duduk belakang. Seketika, dia melingas pandang ke kiri dan ke kanan.

            “Kau apahal?”

            “Eh, Wan.. aku rasa.. macam ada sesuatu yang kita tinggal la..erm..” keduanya menggaru kepala sebelum berpandangan sesama sendiri dan menjerit bagai mak nyah digigit serangga. “Rauf!!!”

            Ketika mereka sampai di rumah selepas berpatah balik, keduanya menerpa ke sekitar ruang tamu mencari Rauf namun tidak berjumpa.

            “Anak aku dah pandai berjalan ke?” Zaquan resah.

            “Mana ada! Aku rasa anak kau kena culik bunian tak?”

            “Woi, mulut tu jaga!”

            “Sorry, sorry..” Khusyairi tersengih. Sayang juga bapak budak ni kat anaknya. “Eh, cuba kau diam sekejap.” Zaquan meletakkan jari di bibir sambil dahinya berkerut, memasang telinga sekuali yang mungkin.

            “Kenap..” mulutnya Khusyairi ditekup. Perlahan-lahan, mereka mendengar sayup-sayup bayi menangis. Halus dan jauh.. Mereka berpandangan sambil mengurut tengkuk masing-masing yang sudah terpacak bulu romanya. Zaquan merendahkan tubuhnya, mengikut jejak tangisan itu dan..

            “Ya Rabbi firli warham ni wajbur ni!!!” termelatah dia bila mengangkat sofa dan kain pelikat yang menutupi anaknya. Hampir luruh jantungnya melihat wajah anaknya yangmerah kebiru-biruan kelemasan. Segera didukung dan dipeluk seeratnya dengan hati yang sebak. Khusyairi menghela nafas kuat. Lega melihat Rauf masih bernyawa. Bahaya betul!

            “Alamak! Habislah kita! Budak ni nak letak mana?” resah Zaquan bersuara ketika mereka sampai di ruang parkir hotel ternama itu.

            “Apasal kau tak hantar nurseri?”

            “Aku tak tahu kat mana nak cari nurseri..”suara Zaquan mengendur. Rauf mula merengek-rengek namun tidak menangis macam malam tadi.

            “Opss...” Zaquan segera menurunkan anaknya ke bawah stereng sambil menelan air liur dan memandang ke depan keretanya. Khusyairi menepuk dahi. “Goyang kakilah steward hari ni kita ganti dia basuh pinggan..” Mereka hanya mampu tersengih melihat Chef Rizki yang sedang bercekak pinggang di hadapan kereta mereka.


LIBRARY KAFE 5 The Others masih lengang. Kafe yang menyediakan makanan segera barat dan pastri itu dilengkapi dengan perpustakaan kecil dikongsi mereka berlima. Isaac, Badrul dan Stella yang bekerja di Hotel Equastrian dengan jawatan masing-masing sebagai Demi Chef, Sous Chef dan chef de party. Dan juga Zaquan serta Khusyairi berdua sebagai rakan kongsi. Sengaja mereka berlima membuka kedai itu. Selain mendapatkan keuntungan yang dikongsi bersama, mereka sering mengisi masa lapang di situ.

            Rauf sudah terbatuk-batuk kerana tidak henti menangis di dalam bakul bayi yang diletakkan Zaquan di atas kabinet granit itu. Zaquan melandaikan separuh badannya di atas kaunter dengan wajah yang disembamkan tidak bermaya. Kedua tangannya terjuntai ke bawah dengan lemah. Bad dan Isaac sudah sakit perut menahan gelak melihat kawan mereka yang seakan tidak bertulang.

            “Itulah kau! Waktu anak pertama dulu buat tak endah saja. Semua kau suruh bini kau buat,” ujar Badrul sambil menyelitkan jari kelingkingnya ke dalam genggaman Rauf yang kecil.

            “Diamlah..” suara Zaquan kedengaran mendatar dan sengau kerana hidungnya penyet disembamkan ke meja.

            “Oh my Omo!! Anak kau ke ni Wan? Apasal tak macam rupa baby je aku tengok ni?” Stella yang baru sampai terus mendukung Rauf yang kelihatan lemah dan tidak terurus. Dihenjut-henjut bayi itu sambil ditepuk. Pertama kali dia melihat wajah anak kedua kawannya itu kerana dia baru pulang dari Cina selepas berada di sana selama 3 minggu menjalani penggambaran untuk Asian Food Channel.

            “Mana seluar dia?” soal Stella bila melihat bahagian bawah Rauf yang togel.

            “Dia kencing dalam seluar.” Mudah saja Zaquan memberi jawapan tanpa mengangkat mukanya.

            “Ya Allah, perut dia kembung ni! Dah masuk angin. Patutlah menangis sahaja! Kenapa kau tak bedungkan perut dia dengan kain barut?”

            “Bedung? Tali barut?” serentak tiga lelaki di hadapannya bertanya termasuk Zaquan yang mengangkat kepalanya sedikit.

            “Kan budak kecik macam ini, masih tak kuat nak hadap dunia. Perut dia ni kena sapu minyak baby, kena ikat, barut elok-elok. Bukan tali barut! Lepasitu, kena urut sikit-sikit. Jangan bagi perut dia kosong, nanti masuk angin sakit tau! Kesian dia,” tegas Stella. Simpati melihat keadaan bayi kecil yang tidak berdosa itu.

            “Manalah aku tahu..” Zaquan menyembamkan semula wajahnya.

            “Itulah kau, tidak pernah nak ambil tahu. Korang berdua ni pun kena belajar dari sekarang! Jangan nanti dah kahwin, lemah longlai tak bertulang macam ni.” Terkebil-kebil Badrul dan Isaac dilampias Stella. “Ini kena bedung ini. Kalau tak asyik terkejut sahaja budak ni. Bahaya tau!” Stella meneruskan sesi bebelannya hinggalah Khusyairi sampai.

            “Mana susu anak aku?” soal Zaquan. Khusyairi tersengih sambil mengeluarkan susu dari dalam bajunya.

            “Apasal kau letak dalam baju? Celah ketiak pulak tu! Pengotor!” marah Stella.

            “Ish, jatuhlah saham kalau awek cun tengok aku jalan bawa botol susu!”

            “Biar jatuh saham sekarang dari jatuh saham lepas dah kahwin!”

Zaquan segera mencerlung ke arah Stella yang berlagak biasa. Siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya!

            “Ya Tuhan.. kesiannya aku tengok. Lapar sangat ni..” terluah simpati Stella melihat Rauf yang menyedut bersungguh susu di tangannya hingga berdecit-decit bunyinya.

            “Isteri kau macamana?” soal Stella setelah Rauf mendiamkan diri dengan mata yang kuyu. Zaquan hanya mengeluh sedikit. Wajah letihnya berubah menjadi mendung. 3 hari sudah berlalu. Tiada perubahan langsung pada isterinya. Bagaikan tiada harapan.

            “Sabarlah Wan.” Isaac menepuk bahu kawannya sebelum beredar mendekati pelanggan yang baru melangkah masuk.

            “Sudahlah tu. Kau tak payahlah sedih sangat. Mana semangat jantan kau! Macam dah berkabung saja aku tengok. Kau patut lebih bersemangat. Mungkin Tuhan sengaja buat macam ni sebab nak kau belajar mendekatkan diri dengan anak-anak kau, menyelami rutin harian isteri kau. Takkan kau nak isteri kau bangun dan tengok anak dia kurus kering, tak mandi, beruam dan menangis tak terurus,” Stella memberi nasihat.

            “Itulah! Betul cakap Stella. Kau patut bersyukur Tuhan bagi kau peluang ni. Kau tahu tak Stella, ada ke patut, dia belikan susu Anlene Gold untuk anak dia!” Zaquan menjeling tajam ke arah Khusyairi.
            “Yeke? OMG betullah kau ni,” Stella tergelak kecil. Rauf yang sudah tidur itu diletakkan kembali ke dalam bakul bayi dan dibuka bajunya. Pampers bagai nak meletup, penuh dengan air kencing. Entah pampers sejak bila. Dari semalam agaknya.          

            “Habis tu, kau beli susu apa?”

            “Susu budak baru keluar perut.” Jawapan Khusyairi menarik pandangan Zaquan dan Stella.
            “Ada ke susu macam tu?”
            “Ada. Tu..” Khusyairi memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah peket susu yang sudah kosong kerana isinya sudah dipiindah ke dalam bekas kedap udara.

            “Sengal! Kau dua kali sengal dari Wan tahu tak?” marah Stella sambil merenyutkan peket plastik itu. “Ini susu Enfamama! Untuk ibu mengandung!”

            “Eh, kakak aku beli susu itulah!”

            “Itu mesti Enfagrow atau Enfakids ke apa aku tak ingatTapi untuk budak!”

            “Tapi kat depan ni kan gambar mak mengandung. Eh..” Khusyairi mula ragu-ragu. “Aah la. Aku silap. Patutnya Enfagrow. Aku tengok gambar mengandung ni aku terbayang susu ni untuk budak yang baru keluar perut. Aku tak baca info dia..sorry Wan.”

            “Kau semangat kata aku otak tak berzat, kau pun tak baca info!”

            “Remuklah perut anak kau, Wan. Mesti dia menangis sebab sakit perut. Lain kali, kau tanyalah yang pakar. Orang lelaki ni terutama yang bujang, susah nak nak percaya. Confident saja lebih! kesianlah kat anak kau ni. Dia kecik lagi. Mak pulak takde kat tepi. Patutnya dia menyusususu badan bagi sistem imun dia kuat. Macamanalah mak dia ni boleh accident. Janganlah jadi apa-apa. Kalaulah..”

            “Kau jangan buat aku menangis kat sini, Stella..” Zaquan sudah menekup wajahnya dengan bahu yang terhenjut-henjut.

            “Alamak, ada baby besar pulak dah! Aiyopp Stella, kau buat dia. Babab nak!” gurau Badrul yang sedari tadi diam sambil membancuh air di sebalik kaunter itu, mendengar perbualan mereka. Diangkat tangan kanannya, mengacah-acah mahu memukul Stella. Lambaian Isaac menandakan ada pesanan baru, memenuhi selera pelanggan.

            “Sudahlah, Wan. Kau tak payahlah menangis kat sini. Kitorang tak tahu pujuk baby besar macam ni. Takpe, nanti aku tuliskan senarai untuk kau uruskan dia. Kau cuti 3 hari kan. Haa, ambillah masa untuk belajar jaga Rauf ni. Kafe ni kau tak payah ambil pusing dulu. Sementara aku ada, aku isi mana yang kosong,” ujar Stella.

            “Kenapa kau tak hantar ke nurseri?” soal Badrul.

            “Bad, bila aku tengok kat paper, kat berita, kat internet pasal budak kena dera kat tempat jagaan kanak-kanak, aku tak yakinlah nak hantar anak aku ni. Lagilah dia masih kecil. Aku takut jadi apa-apa. Dia sajalah anak lelaki aku,” jawab Zaquan sambil mengelap hujung matanya yang sedikit basah. Stella dan Badrul mengangguk menandakan mereka menghormati pendapat  kawan mereka itu.

            “Wan, kalau kau ada apa-apa masalah, kau cakap sajapada kitorang. Bila-bila pun. Kitorang doakan kau dan Adira, moga sembuh dan terus hidup untuk menemani kau di sisi,” ucap Isaac yang merapati mereka. Mereka berlima saling berpandangan dan berbalas senyuman.

we are always by each other, never leaving.
sometimes we fight, sometimes we cry.
we’re bestfriends, we never lie.

            “Sudah-sudahlah tu buat drama feeling meeling. Meh sini aku ajar kau cara mandikan, barut dan semuanya,” ajak Stella sambil membawa Rauf dan bakulnya duduk di sofa yang lebar. Badrul, Isaac dan Khusyairi beredar ke kaunter kerja masing-masing. Pampers dikeluarkan. Pampers Rauf perlu ditukar. Patutlah seluarnya basah, sudah penuh bertakung dalam pampers tu.

            “Tengok cara aku tukar pampers ni. Guna tisu basah.” Stella menunjuk pada Zaquan sementara lelaki itu memerhati dengan teliti.

            “Oh baby oh *&%$^#!! Opss.. Sorry,” Stella menekup mulutnya bila terlanjur mencarut kerana bajunya yang sudah dibasahi kencing Rauf. Cermin matanya turut kabur. Kalau ada wiper, dah macam cermin kereta kena rintik hujan gayanya. Zaquan membulatkan mata sebelum menekup pantas kedua telinga Rauf agar tidak mendengar perkataan yang kurang enak dari bibir Stella. Mereka berpandangan sebelum mereka tergelak bersama.

            “ Thanks Stella.”

            “Kau sudah banyak tolong waktu aku dalam proses penceraian dengan Matt. Sekarang, aku pulak tolong kau dan Adira,” balas Stella sambil tersenyum. Alhamdulillah, hati Zaquan mengucap syukur.

KALI PERTAMA dalam hidupnya selepas kelahiran Rauf, dia mula merasakan ketenangan. Kesudian Khusyairi untuk tinggal sementara di rumahnya untuk membantu menjaga Rauf membuatkan dia terharu. Selepas solat Subuh, Khusyairi membacakan senarai yang sudah ditulis oleh Stella bagi memudahkan mereka menguruskan Rauf.

            “Masak air. Campurkan air panas ke dalam besen, bagi suam-suam kuku. Celup siku untuk rasa. Jangan panas sangat, kulit baby nipis,” Khusyairi membaca satu persatu dengan nada mendatar. Dicelup sikunya ke dalam besen sambil matanya tidak lepas dari memandang kertas di tangannya.

            “Arghh!!” menggelepai Khusyairi apabila sikunya mencecah air panas di dalam besen tu.

            “Laa.. apasal kau?” soal Zaquan apabila dilihat Khusyairi meniup-niup sikunya. Rauf di dalam dukungannya menggeliat kecil. Mungkin kesejukan kerana ditogelkan tanpa seurat benang.

            “Aku letak air panas banyak sangat. Pedih. Tunggu sekejap aku tambah air tapi kaulah yang mandikan. Aku tak berani. Terlentok-lentok kepala dia macam nak tertanggal. Cuak aku siot,” kata Khusyairi sambil mengangkat tangan tanda mengalah.

            “Eh, mandikan sama-samalah. Aku pegang, kau sabunkan. Tak cukup tangan kalau aku seorang sahaja.”

            “Iyalah..” akhirnya, Khusyairi terpaksa akur. Selesai mandi, Khusyairi mendepangkan tangan dengan tuala di tangannya.

            “Meh sini, bushuk bushuk kat Uncle Kucai..”

            “Banyaklah kau punya bushuk! Dah sabun tau!”

            “Ish, marah saja kau ni. Aku nak gurau-gurau main-main dengan dia pun tak boleh. Yalah, yalah.. Alolo, si wangi indah permai bak kasturi Puteri Gunung Ledang,” Khusyairi menggoyang-goyangkan tangannya. Mengacah Rauf yang masih basah di tangan Zaquan.

            “Apa Puteri Gunung Ledang pulak?! Anak aku jantan!”

            “Haila kau ni! Aku main-main saja dengan anak kau! Apasal serius sangat?” rungut Khusyairi.

            “Aku baca dalam internet malam tadi, seorang blogger tu tulis, apa yang kita katakan pada budak tu satu doa. Aku tak nak anak aku jadi sotong besar nanti,” ujar Zaquan, lurus.

            “Iyalah!! Meh sini, aku lapkan anak jantan sejati kau.” Khusyairi mengalah. Moodnya untuk bermain-main dengan Rauf menjadi layu. Zaquan menyuakan Rauf ke dalam pelukan Khusyairi untuk dibawa ke katilnya sementara dia mula mengangkat besen berisi air itu untuk dituangkan ke dalam sinki.

            “Argghhh!!!!” kedengaran Khusyairi menjeritdengan begitu parah. Zaquan menoleh dan terkejut melihat Rauf yang terlambung ke udara. Sepantas kilat, dia melepaskan besen itu dan melompat ke depan, menyambut anaknya dari jatuh ke lantai. “Allahuakbar!!!” Zaquan menjerit dengan mata yang terpejam apabila anaknya itu selamat dicapai tangannya. Kakinya menggigil hebat. Tidak terbayang jika anaknya yang masih terlalu kecil itu jatuh ke lantai yang keras. Tidakk!!

            “Wargh!! Argh!!” Khusyairi yang membelakangkannya masih menjerit dengan tegak dan kedua tangan yang ke depan.

            “Woi, Kucai!! Kau ni kenapa?! Nak bunuh anak aku ke?!!” tegang urat merih dengan rahang yang bergetar menahan marah. Betis kawannya diterajang hingga Khusyairi tersungkur ke depan.

            “Ya Allah! Sorry Wan! Maaf sangat. Aku tak berniat nak campak anak kau. Aku.. aku terkejut sebab dia..” Khusyairi memandang ke arah tangan dan baju di bahagian dadanya. Zaquan turut memandang. Suara kecil Rauf yang terkekeh ketawa membuatkan mereka serentak berpandangan dengan wajah yang teruja hingga terjungkit kening. Dari perasaan marah yang  membuak, Zaquan ketawa terbahak-bahak melihat wajah cemberut Khusyairi disirami tahi kuning pekat yang banyak hasil ‘pelaburan’ Rauf’.

            “Comelnya dia gelak!” Khusyairi turut teruja sambil berdiri merapati Rauf yang selamat di dalam dukungan ayahnya.

            “Eee.. busuk la kau ni. Ni baru la bushuk bushuk.”

            “Siot kau!” Akhirnya mereka ketawa lagi dengan lantai yang basah dek kerana air yang tumpah dari besen yang dipegang Zaquan tadi.

“SYHH.. ANAK ayah. Anak ayah..” sebak hatinya bila menyebut dua perkataan itu. rindunya pada Raudah bertamu. Juga pada Adira. Dia baru pulang dari hospital. Alhamdulillah, keadaan isterinya itu kini stabil. Tidak perlu bergantung pada alat bantu pernafasan. Cuma, dia masih belum sedarkan diri.

            Sejak dari beberapa lepas, dia akan menghantar Rauf kepada seorang kenalan Stella, Auntie Gooby yang berbadan besar. Auntie Gooby mempunyai sebuah kedai jahit di sebuah bangunan kedai yang berhampiran dengan pusat membeli belah. Dia mempunyai beberapa orang pekerja dan kerana dia hanya duduk goyang kaki saban hari di kedainya maka dengan senang hati dia menawarkan diri untuk menjaga Rauf sejak mendengar cerita tentang Zaquan melalui Stella.

            Hari itu merupakan hari yang terlalu memenatkan. Sebuah majlis resepsi perkahwinan artis terkenal tanah air dilangsungkan di hotel mereka. Seharian Zaquan bekerja hingga lewat malam hingga dia terlelap di dalam chiller yang sememangnya nyaman. Peti sejuk yang boleh dipanggil bilik sejuk itu antara tempat yang dia suka 'singgah' kerana ia dapat melegakan ketegangan berada di dapur seharian. Mujur dia terlelap seminit dua, kalau tidak Chef Zainal, Sous Chefnya sudah menghamburkan lapisan ozon ke serata dapur mencarinya.

            Sebelum balik, dia melelapkan mata di dalam kereta seketika. Tidak berani memandu dalam keadaan mengantuk. Khusyairi sudah 2 hari tidak bekerja kerana cuti sakit. Terbaring sahaja di rumah. Mujurlah sakit-sakit pun masih sudi menemankan dia dan Rauf.

            10 minit kemudian, dia terjaga. Tubuhnya diregangkan, menghilangkan kelesuan. Telefon bimbit dicapai dari dalam dashboard. Butang merah ditekan seketika untuk menghidupkan telefon itu. Sudah menjadi tabiatnya untuk mematikan telefon setiap kali ada function begini supaya konsentrasinya tidak terganggu.

            6 panggilan tidak berjawab.

Zaquan mengerutkan dahi. Semuanya dari nombor yang tidak dikenali. Panggilan dibuat dalam jam 5 petang hingga 9 malam. Tanpa mempedulikan waktu yang sudah berinjak hampir tengah malam, dia mendail semula nombor itu.

            “Hello?” ucapnya. Khuatir jika pemanggil itu bukan beragama Islam.

            “Ya.” Suara seorang perempuan.

            “Erm.. ada tak cik call nombor saya ini dalam sekitar 5 petang tadi?” soal Zaquan. Seketika, perempuan itu berhenti seketika sebelum bersuara semula.

            “Oh, ya! Saya yang call Encik Zaquan. Saya Doktor Najihah yang merawat Puan Adira. Isteri encik kan?”

            “Ya. Adira.. isteri saya,” ada nada sayu di situ. Dia mula rindukan senyuman itu. Tiba-tiba, dadanya bergoncang hebat. Kenapa perlu doktor itu menelefon beberapa kali.

            “Sebenarnya saya ingatkan nak jumpa Encik Zaquan secara empat mata. Ada perkara yang saya nak bincangkan dengan encik tentang Puan Adira. Tapi memandangkan sekarang sudah jam..” Doktor Najihah berhenti seketika sebelum menyambung, “11.00 malam, saya rasa kita jumpa esok sajalah di hospital.”

            “Tak!!” Zaquan terjerit sedikit membuatkan Doktor Najihah tersentak dan terdiam. “Maaf doktor. Maksud saya, saya nak doktor cakapkan saja apa yang doktor nak katakan tentang isteri saya sekarang juga.”

            “Tapi.. saya rasa elok kita bincangkan secara berhadapan.”

            “Doktor.. tolonglah. Saya sanggup ke tempat doktor sekarang. Di mana pun, saya sanggup. Jangan buat saya tertunggu-tunggu macam ni, doktor.” Suaranya sedikit bergetar, menahan sebak. Dia yakin, dari gaya percakapan doktor perempuan itu, berita yang akan didengarnya mungkin kurang menyenangkan. ‘Ya Allah, berilah aku peluang..’

            “Sebenarnya, begini..”

DIA MELANGKAH longlai menapak ke arah pintu pagar rumah Auntie Gooby. Niatnya untuk mengambil Rauf. Loceng ditekan beberapa kali hingga terlihat tubuh gempal Auntie Gooby merapati pintu pagar.

            “Laa, kenapa kamu ke sini? Kenapa tak ambil Rauf di kedai?”

            “Bukan ke kedai tutup pukul 10? Jadi saya datang ambil di sini,” jelas Zaquan.

            “Auntie sudah suruh Nadia tunggu kamu jemput Rauf di kedai.”

            “Hah, yeke?” Zaquan melirik ke jam tangannya. 12tengah malam. Selepas berteleku hampir setengah jam di dalam kereta kerana mahu menenangkan diri, barulah dia memandu ke situ. Tanpa sempat mengucapkan apa-apa, dia terus meluru  masuk ke dalam kereta dan memecut memasuki jalan utama dan berhenti di hadapan deretan bangunan kedai yang hampir kesemuanya sudah bertutup. Kedai jahit Auntie Gooby pun sudah bertutup. Zaquan resah. Dia mendail nombor Auntie Gooby, meminta nombor telefon Nadia namun apabila dia cuba menelefon Nadia, langsung tidak berjawab.

            “Kamu baliklah dulu. Esok datang ambil di kedai. Nadia sudah tidur agaknya.”

Nasihat Auntie Gooby tidak dipedulikan apabila dia ternampak beg Rauf yang tersadai di tepi bidai yang bertutup. Pantas dia mencapai beg itu sambil mengangkat sedikit bahu kanannya mengepit telefon yang masih dalam talian. Bahagian sisi beg digeledah dan dia mengeluh berat apabila melihat dua botol susu Rauf ada di situ. Ini bermakna, Nadia membawa Rauf pulang tanpa kelengkapan yang sepatutnya. Macamana kalau Rauf menangis kelaparan? Bagaimana kalau Rauf  terkencing hingga tembus di dalam seluar? Kalau perutRauf kembung dimasuki angin?

            Dia berkeras  mendapatkan alamat Nadia dan bergegas ke sana namun satu lagi perkara yang mengejutkan apabila dia sampai ke rumah teres yang dikongsi bersama 4 orang wanita yang lain. Nadia keluar bersama kawan-kawannya berjalan di sekitar Bukit Bintang. Mujur seorang kawannya itu tinggal di rumah kerana tidak sihat & memberitahu tentang hal itu. Zaquan bergegas ke Bukit Bintang dengan arah yang tidak pasti. Bagai orang gila dia mencari anaknya. Setiap orang yang ditemui ditanyakan. Setiap restoran atau kedai dijengah ke dalam namun hampa. Peribahasa bagai anak ayam kehilangan ibunya mungkin sudah tidak boleh dipakai lagi. Dia bagaikan bapak ayam yang kehilangan anaknya. Terus mencari dan mencari sambil tangannya tidak henti-henti mendail nombor Nadia.

            “Ya Allah. Tolonglah aku Ya Allah.. Rauf. Rauf..” nama itu tidak henti-henti meniti di mulutnya diselangi rintihan kepada Tuhan. Dia kehilangan upaya. Terasa dia ayah yang tidak berguna. Kata-kata Doktor Najihah tadi terngiang-ngiang di kepala, semakin membuatkan dia terasa perit. Adira mungkin tidak akan bangun dalam masa terdekat atau mungkin buat selamanya. Dia koma pada awalnya berpunca dari lemas yang mencetus satu keadaan yang dipanggil Anoxia. Dan kini disahkan mengalami PVS (Persistent Vegetative State). Satu keadaan di mana pesakit tidak dapat memberi respon atau tindakbalas atau berinteraksi dengan dunia luar. Berbeza dengan koma, pesakit boleh bernafas tanpa alat bantuan pernafasan.

            Dia hampir kehilangan isteri dan sekarang dia mungkin akan kehilangan anaknya yang masih tidak pasti. Tidak tahu mahu meminta bantuan dari siapa lagi. Jam sudah beranjak ke 2 pagi namun Bukit Bintang masih meriah seolah-olah malam masih muda. Akhirnya, dia terduduk di bahu jalan. Wajahnya diraup berkali-kali. Naluri seorang ayah membuatkan air matanya mengalir dengan laju tanpa ditahan. Hidungnya yang berair dilap dengan hujung lengan yang disinsing. Rambutnya disentuh beberapa kali. Skrin telefonnya yang penuh dengan gambar wajah Adira dipandang hingga akhirnya dia menekup kedua wajahnya dan kepalanya ditundukkan hingga rambutnya yang sedikit terjuntai mencecah ke jalan tar. Beberapa kali dia beristighfar menenangkan hati.

            Tiba-tiba, dia memanggungg kepalanya sepantas kilat. Terdengar seakan-akan suara bayi menangis sayup-sayup di kejauhan. Seluruh keriuhan di sekitar kawasan itu bagai lenyap. Dia memejamkan mata dan memicingkan telinga. Langkahnya diatur perlahan mengikut arah suara tangisan itu. 10 minit dia berjalan hinggalah tiba di sebuah kelab malam yang masih beroperasi. Dahulu, dia selalu juga bertandang ke situ selepas waktu kerja. Mengenangkan itu semua, hatinya semakin sebak kerana  tabiat masuk keluar kelab malam dan bersukaria bersama teman-temannya sudah berakhir di hari dia melafazkan akad. Namun, sewaktu Adira mengandungkan Rauf, dia kembali ke tabiat lama. Dia bosan dengan wajah lesu Adira yang mengalami alahan teruk walaupun jelas kelihatan Adira bersungguh mengukir senyum untuknya malah berwangi-wangian dan sentiasa dalam keadaan yang menyenangkan.

            “Bismillah..” dia melangkah masuk ke dalam kelab itu sama seperti sebelumnya namun kalimah agung itulah yang membezakannya. Dia tidak mahu terlalai dan terleka lagi. Dia ada tanggungjawab besar yang perlu digalas.

            Dia menyelit di antara puluhan orang yang sedang galak berentap di lantai tari. Hinggalah akhirnya dia menangkap wajah Nadia yang sedang ketawa mengilai sambil menari mengikut rentak lagu. Dia ingat wajah itu kerana sudah beberapa kali dia bertemu dengan Nadia ketika menghantar dan menjemput Rauf.

            “Nadia, mana anak aku? Mana Rauf?”

Tangan Nadia direntap kasar. Terlupa sebentar dengan batas di antara mereka sebelum dia melepaskan semula pegangannya. Nadia seakan sudah tidak  jejak ke lantai. Mabuk barangkali. Dia hanya ketawa terkekeh sambil menunjuk ke arah kaunter minuman. Zaquan segera menerpa ke situ dan bertanya pada seorang pelayan lelaki. Lelaki itu merungut-rungut mengatakan Rauf menyusahkannya dan dia membiarkan sahaja di bilik belakang. Mungkin itu kawan Nadia. Zaquan berlari ke arah yang ditunjukkan  dan langkahnya terhenti. Matanya menangkap suara bayi yang kedengaran tertahan-tahan. Digeledah bilik kosong yang bersepah denganbotol minuman dan pakaian. Dibuka setiap laci dan pintu almari hingga terlihatkan Rauf yang sedang menangis dengan mulutnya yang diikat dengan sehelai sapu tangan putih.

Tangannya yang kecil tergapai-gapai minta didukung. Air mata dan hingus sudah penuh membasah di wajahnya yang putih kemerahan. Sebelah stokinnya sudah hilang entah ke mana. Bajunya separuh terbuka. Pucat wajahnya, mungkin kesejukan kerana bilik itu memang sejuk dari penghawa dingin yang terpasang. Jantungnya bagai berhent iberdetak. Rasa bersalah meruntun jiwa. Dirangkul anaknya, dibawa ke dada dan dihenjutkan sedikit. Dipujuk agar diam.

“Rauf, anak ayah. Ayah ada kat sini. Syhh.. Maafkan ayah. Maafkan ayah.. anak ayah..” dia turut menangis tersedu-sedu. Betapa dia mengasihi anaknya. Maafkan ayah..

Malam itu, dia lena di dalam kereta bersama anaknya di dalam pelukan. Tidak mungkin dia akan tinggalkan anaknya lagi.

SELEPAS  kejadian itu, Zaquan tidak lagi menghantar Rauf ke dalam jagaan Auntie Gooby lagi walaupun dia tahu wanita itu tidak bersalah langsung namun dia sudah hilang keyakinan untuk berpisah dengan anaknya melainkan dengan orang yang dia benar-benar kenal. Kadangkala, dia akan membawa Rauf ke hotel tempat dia bekerja. Dengan bantuan kawan-kawannya, mereka tidak menghampakannya malah membantu dia menjaga Rauf. Malah, Chef Rizki yang pada awalnya menentang sudah terbiasa dengan keadaan itu dan kadangkala, di saat orang tidak memerhatikannya, dia akan bermain dengan Rauf. Sesekali terkantoi juga namun sepantas cahaya, dia merubah wajahnya kepada riak yang lebih garang dua kali gandadari asal. Jadi, kalau tidak mahu dapur membahang, lebih baik diamkan sahaja atau buat-buat tidak nampak kalau terserempak dengan Chef Rizki yang sedang menyanyikan ‘Bapaku Pulang Dari Kota’ pada Rauf. Siap dengan lirik berbunyi, “Pon, pon, pon, pon.”

Beberapa minggu yang lepas, Zaquan datang ke hospital dengan satu harapan. Membawa pulang Adira ke rumah. Biarlah dia menjaganya sendiri. Sudah 7 bulan Adira terlantar tanpa apa-apa perkembangan. Rauf juga sudah pandai membalik-balikkan tubuhnya dan merangkak laju. Selepas melalui beberapa prosedur, dia berjaya membawa isterinya pulang. Raudah juga diambil dari jagaan kakak iparnya. Biarlah dia menjaga keluarganya dengan kudrat yang masih ada. Adiknya, Zalina yang bekerja sebagai seorang jururawat turut menghuni rumah itu dengan suami yang baru dikahwininya. Keberadaan Zalina sedikit sebanyak membantunya terutama apabila dia keluar bekerja.

            Hari ini, dia sudah menyiapkan Rauf dan Raudah untuk dibawa ke 5 The Others. Sudah lama tidak melepak di situ bersama kawan-kawannya. Keletah Rauf dan Raudah sedikit sebanyak mengubat hatinya yang lara malah membawa sinar kebahagiaan di hatinya. Sebelum keluar, dia berteleku sebentar di sisi katil isterinya. Jari jemari yang sejuk itu digenggam dan dibawa ke dadanya.

            “Sayang, hari ini hari ulangtahun kelahiran Raudah. Abang nak bawa dia jalan-jalan. Sayang rehatlah tau. Nanti, kalau sayang sudah rasa rindu sangat kat abang, sayang bukalah mata tau. Sebab abang sudah rindu sangat kat sayang.” Dia berhenti seketika. Mengawal nafasnya agar air mata yang bertakung tidak menitis. Dia perlu kuat di hadapan Adira. Dia tahu isterinya itu pasti mendengar kata-katanya.
            “Raudah sudah boleh mengaji alif ba ta. Rauf sudah merangkak. Laju sangat. Abang terkejut bila dia gigit jari abang. Rupanya dah ada gigi.” Dia tergelak kecil mengenangkan betapa terujanya dia melihat pucuk gigi yang baru tumbuh di gusi merah itu. “Sayang tak nak tengok ke? Gigi dia cantik. Mata dia pun cantik. Macam mata umi dia. Rambut dia, mestilah macam ayah dia. Pacak-pacak. Bila cicak jatuh, mati terus.” Dia ketawa lagi dan hatinya senang melihat bibir Adira bergerak sedikit seakan tersenyum. Kata Doktor Najihah, pesakit PVS boleh dilihat berkelakuan seperti menitiskan air mata, tersenyum, menelan, mengeluh atau meraung walaupun tanpa sebarang rangsangan dari luar.

            Selepas membetulkan selimut, dia mengucup dahi isterinya sebelum melangkah keluar. Ketika dia sampai di 5 The Others, riuh suasananya seakan berparti. Memang berparti pun. Parti kacil-kecilan untuk Raudah. Ketika mereka sedang enak menjamu selera, terdengar satu suara menegurnya dari belakang. Dia berpaling dan mati kata. Qasidah!

            Tanpa dia sedar, jantung gadis itu bergetar hebat. Mana tidaknya, selepas pemergian Zaquan secara tiba-tiba dan terus menghilang tanpa beritadi Langkawi, ini kali pertama mereka bertemu semula. Tidak sia-sia dia datang memenuhi undangan Isaac, seniornya ketika awal dia masuk ke universiti. Dia masih ada persoalan besar di benaknya yang perlu diuraikan. Melihat ketampanan lelaki itu, cukup menggetarkan jiwa remajanya. Dengan rambut yang disisir kemas, mata yang redup, baju T yang mengikut tubuh disarung kot hitam yang disinsing lengan, cukup ringkas tapi memukau di matanya.

            Belum sempat mereka berbual, Isaac datang dan saling memperkenalkan di antara mereka. Masing-masing tersenyum sumbing. Qasidah baru saja mahu berpaling mengambil minuman namun langkahnya terhenti apabila mendengar suara Isaac.

            “Adira macamana?” Isaac menepuk bahu Zaquan. Nama Adira itu bagai jarum peniti menyucuk hatinya. Siapa Adira?

            “Macam itulah. Aku risau juga sebab doktor kata, makin lama dia macam tu, makin tinggi risiko kerosakan otak dia. Aku sayangkan dia, Isaac. Aku tak sanggup.. bukan sekarang..” Suara lirih Zaquan menambah rasa pada Qasidah.

            “Ayah, nak bukak hadiah sekarang, boleh?” tiba-tiba, Raudah melompat-lompat di tepi kaki ayahnya yang tinggi sebelum dicempung dan dilambung ke udara. Terjerit-jerit dia kerana gayat.

            “Kenapa tak sabar sangat ni? Tunggulah ayah makan kek dulu. Kita buka hadiah dengan umi sekali ye.” ..dan Qasidah memejamkan mata dengan hati yang perit.


RAUF SUDAH berusia setahun 8 bulan dan sudah pandai berjalan dengan lancar tanpa perlu berpegang pada mana-mana benda malah sudah boleh berlari anak. Mulutnya juga petah menyebut itu ini walaupun tidak pasti butir bicaranya. Raudah sudah melangkah ke alam taska untuk kanak-kanak berusia 4, 5 dan 6 tahun.Apabila difikirkan semula, Zaquan sendiri tidak menyangka dia sudah mengkhatamkan Al Quran sebanyak 4 kali! Itu semua kerana dia mengikut panduan mendidik anak dengan membacakan ayat-ayat suci itu pada anak-anaknya ketika mereka masuk tidur & sebelum bangunkan mereka di pagi hari. Perkembangan Adira juga, walaupun tidaklah seperti yang diharapkan namun sudah mampu menceriakan hatinya. Kesihatan isterinya semakin baik dan pulih malah semakin kerap memberikan respon jika Raudah atau Rauf berbual dengannya.

 Dia juga sudah dinaikkan pangkat mengambil alih perniagaan di 5 The Others bila Badrul mengundur diri kerana bekerja di Australia dan Isaac yang sudah berhijrah ke Sabah manakala Khusyairi yang sudah berpindah ke hotel lain untuk meraih pengalaman baru. Stella juga semakin sibuk dengan rancangan masakannya. Impiannya untuk menjejaki langkah Anna Olson semakin hampir dicapai. Chef Rizki yang sudah mencecah 40 tahun itu juga sudah berkahwin. Katanya kerana jodoh tapi mereka tahu dia berkahwin kerana tercuit dengan keletah Rauf lantas menyuburkan niat untuk memiliki keluarga sendiri.

            Malam itu, mereka makan bersama di laman luar rumah Zaquan. Menyambut kepulangan Badrul dan juga mengeratkan semula hubungan mereka berlima yang sudah terpisah jauh. Masing-masing membawa teman dan Zaquan sedikit hampa kerana Qasidah turut hadir bersama Isaac. Dia sedar bagaimana cara Qasidah memandangnya walaupun gadis itu sudah tahu mengenai statusnya sebagai suami orang dan ayah kepada dua orang anak.

            “Ayah.. ayah..”

Suara Rauf melaung nama ayahnya membuatkan Badrul, Khusyairi, Isaac dan Stella berpandangan sebelum tersenyum sendiri. Masih segar di ingatan mereka, pada suatu malam beberapa bulan yang lalu Zaquan menghubungi setiap seorang dari mereka dengan nada yang teruja.

            “Rauf panggil aku ayah! Dia sudah pandai sebut ayah! Ya Rabbi!! Cute gila! Arghhhh!! Dia sebut macam ni,” Zaquan berdehem sedikit sebelum melunakkan suaranya. “Aya..aya..’ Waargh!! Gila la comel! Korang patut dengar! Aaaa!!!”

            Dan mereka hanya mampu ketawa, meraikan sama keterujaan Zaquan di waktu itu. Menjerit gila-gila hingga melompat-lompat di atas katil. Waktu Raudah dulu, tidak pula begini sekali over excitednya. Mungkin kerana dia membesarkan kanak-kanak itu dengan telapak tangannya sendiri. Khusyairi yang tersenyum paling lebar sebab Zaquan membayarkan bil telefonnya untuk bulan itus ebagai tanda kesyukuran. Itulah antara saat yang paling mereka tidak dapat lupakan. Belum lagi saat Rauf pandai berjalan, mula tumbuh gigi, demam, berguling. Kalau dihimpunkan semuanya, mahunya Zaquan gembira teruja sampai sawan berbuih mulut.

            Ketika mereka sibuk memanggang ayam dan daging, terdengar letupan yang kuat hingga beberapa orang darimereka menjerit kerana ketakutan. Rupanya Khusyairi membuat kejutan dengan menyalakan bunga api yang besar dan cantik.

            “Sengal la kau Kucai! Aku ingat dah berubah la. Mujur aku tak mati kejung!” marah Isaac dengan tawa di hujungnya. Mereka ketawa bersama. Ketawa dari 13 orang dan 2 orang kanak-kanak kecil iaitu Rauf dan Raudah cukup membuatkan suasana gamat dan meriah. Mereka tidak sedar, sekujur tubuh yang terkaku di atas katil tersentak hebat kerana letupan itu hingga matanya terbuka sedikit.

            Bayangan kereta yang terhuyung hayang menghentak pembahagi jalan mengaburi matanya dan terasa seakan kepalanya dicucuk dengan jutaan jarum. Dia mengerang kecil sebelum matanya tertutup kembali.

            “Eh, aku nak masuk tengok isteri aku sekejap,” ujar Zaquan sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Hatinya berdebar tanpa arah secara tiba-tiba. Tidak sedap hati. Dia melangkah masukke bilik yang suram dengan cahaya dari lampu tidur, merapati isterinya yang kelihatan tenang. Beberapa titis peluh merenik di dahi luas itu. Diseka seketika sebelum dia kembali melangkah keluar dengan sedikit hampa. Sungguh, penantian satu penyeksaan. Setiap kali dia menjengah, dia mengharapkan Adira akan memandangnya dan melemparkan senyuman seperti dulu.

            Dia bersandar di sebelah luar pintu bilik yang terbuka. Wajahnya ditundukkan. Derap langkah menghampiri memaksa dia memanggung wajah. Dia cuba tersenyum pada Isaac yang menghampiri namun senyuman itu terlalu payah. Isaac memeluk kawannya itu seketika sebelum melepaskan dan menepuk bahu kawannya.

            “Aku tak kuat Isaac.” Zaquan memejamkan mata.

            “Kau tak kuat tapi kau mesti, wajib & kena kuat untuk Adira, Rauf dan Raudah. Aku kenal kau sudah lama dan aku tahu kau takkan mengalah.” Isaac cuba membangkitkan semula semangat kawannya.

            “Mungkin bagi orang, setahun lebih itu cuma masa yang singkat tapi bagi aku, inilah masa yang terpanjang dalam hidup aku. Aku tak tahu berapa lama lagi aku akan menunggu. Berapa lama lagi dia akan terbaring macam tu. Kadang-kadang, aku kesian tengok anak-anak aku yang tak dapat merasa kasih sayang umi diorang terutama Rauf sedangkan dia kecil lagi. Aku tahu, dalam hal ni aku yang bersalah. Aku..”

            “Wan!” nada seakan berbisik namun sedikit kuat dan tegas memotong kata-kata Zaquan. “Kenapa tiba-tiba kau bangkitkan hal ini? Selama ni aku tengok kau ok je. Kenapa?” Zaquan memandang seketika ke dalam anak mata Isaac.

            “Mak aku call petang tadi. Dia desak aku kahwin lain.”

Isaac terdiam. Dia tahu dia tidak boleh menyalahkan mak Zaquan kerana seorang ibu pasti mahukan yang terbaik bagi anak dan cucunya malah sesekali terlintas di hatinya untuk mengenalkan Zaquan pada wanita lain namun dia menghormati kesetiaan dan kasih sayang Zaquan pada Adira.

            “Mak aku kata macam-macam sampai aku ragu pada diri sendiri. Aku takut aku jadi orang yang tak berpendirian. Adira pun sudah hampir dua tahun terbaring macam tu. Aku tak tahu nak kata apa lagi. Kalau dia tidak bangun untuk 3 tahun, 5 tahun, 10 tahun lagi, apa aku akan buat? Aku seorang ayah dan aku takut aku tak dapat jadi ‘ibu’ yang sempurna pada anak-anak aku.” Zaquan sudah menitiskan air matanya buat kesekian kalinya. Sejak kejadian yang menimpa Adira, air mata lelakinya terlalu murah.

            “Aku pun tak tahu nak cakap apa, Wan. Kau ada pegangan, kau mintalah semoga Tuhan tunjukkan jalan. Dia lebih tahu,” ucap Isaac, telus menembusi dasar hati Zaquan. Walaupun mereka berlainan agama, namun semua agama itu sama dengan satu perkara ; pegangan hati si hamba dengan Tuhan mereka. Isaac meninggalkannya selepas beberapa ketika. Memberi ruang untuk dia bernafas.

            Namun, tidak lama selepas Isaac pergi, Qasidah pula muncul dengan dua gelas air di tangan. Dia merapati lelaki itu. Segala perbualan antara lelaki yang dicintai itu dengan seniornya didengari dengan jelas tadi ketika dia bersembunyi di balik sofa untuk mencuri dengar. Zaquan nampak terkejut dengan kehadiran yang tidak diundang itu. Teragak-agak dia menyambut huluran gelas di tangan gadis yang manis bertudung itu.

            “Abang Wan, Ida minta maaf kalau abang tak suka dengan kedatangan Ida cuma Ida mahukan kepastian.” Kata-kata Qasidah membuatkan Zaquan sedikit tergamam. Tidak ada lagi ‘Encik Zaquan’ atau perkataan saya yang sudah diganti dengan ‘Ida.’ Dia hanya diam, menanti ucapan seterusnya. Qasidah menarik nafas sedalamnya, cuba meraih kekuatan dan menutur ayat melalui keikhlasan yang sudah lama bersarang di hatinya.

            “Ida akui, Ida sudah jatuh sayang pada abang saat kita berkursus di Langkawi dulu. Ida hampa sangat bila abang menghilang macam tu sahaja dan Ida yakin jodoh di antara kita memang ada bila kita jumpa balik kat kafe library abang. Kebetulan pula Mr. Isaac senior Ida itu kawan baik abang. Dan Ida yakin sangat Ida todak bertepuk sebelah tangan. Cara abang melayan Ida di Langkawi dulu dan cara abang mencuri pandang pada Ida.”

            “Tapi, Qasidah, itu dulu. Cuma mainan perasaan. Saya ini suami orang dan sudah ada anak dua orang pun. Kamu layak untuk dapat lelaki yang lebih baik.” Zaquan cuba bertolak ansur cara baik walaupun kalau diikutkan hati, mahu saja dia menolak Qasidah keluar dari rumahnya.

            “Saya tak kisah, Abang Wan! Walaupun abang ada isteri, tapi dengan keadaan dia yang macam tu, mampu ke Abang Wan tengok anak-anak abang terbiar macam tu? Tak kesian ke abang bila tengok mereka berdua? Tak kasihankah abang dengan diri abang sendiri? Siapa yang akan jaga makan minum abang? Takkan abang nak terus menerus buat itu semua sampai ke tua sedangkan itu semua selayaknya dilakukan oleh seorang perempuan bergelar isteri!” tegas Qasidah berkata-kata penuh emosi.

Gelas yang digenggam Zaquan pecah tiba-tiba kerana pegangan yang terlalu kuat. Hatinya terhiris dengan kata-kata itu.Seolah-olah gadis di hadapannya itu ingin memberitahu dia bahawa Adira sudah mati & tidak akan bangun lagi. Qasidah menelan air liurnya, sedikit gentar namun tidak mungkin dia akan berundur kerana dia sudah meluahkan semuanya.

“Abang Zaquan, Ida sanggup jadi yang kedua!”

Zaquan tergamam dengan ketegasan itu sebelum mendengar Rauf menjerit danmenangis dari laman rumah. Dia segera berlari meninggalkan Qaisdah yang sudah tersandar dibasahi air mata.

            “Kenapa ni Rauf?” dia menerpa dan memangku anaknya. Badannya anaknya sedikit panas. Mungkin demam.

            “Ini haa, Pakcik Kucai yang tak cukup zat ni pergi pecahkan belon dia,” adu Stella sambil mencubit Khusyairi yang tersengih. Berkerut menahan sakit menerima sepitan semut merah Stella. Digawang-gawangkan Rauf ke udara seperti selalu untuk memujuk anaknya supaya tidak menangis lagi. Qasidah yang baru melangkah keluar dari dalam rumah dipandang hujung mata. Dia mahu melupakan kata-kata gadis itu. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa.

            Selepas majlis bersurai, mereka mengemas apa yang patut. Stella meminta kebenaran untuk membawa Raudah ke rumahnya sehari dua. Pinjam katanya untuk dibuat bantal peluk.

            “Kau pergi kahwin sajalah, Stella. Asyik nak pinjam bantal peluk orang je,” tingkah Khusyairi sbeelum menjerit nyaring kerana dicubit Stella di perutnya. Pijar lemak-lemak di situ.

            Zaquan langsung tidak memandang ke arah Qasidah ketika gadis itu melangkah ke dalam perut kereta. Malam itu, hanya tinggal dia dan Rauf selain Adira kerana adiknya pulang ke tidur di rumah ibu mertuanya yang tidak jauh dari situ. Dia terlelap di sofa sebelum terjaga apabila telefon bimbitnya berdering. Rauf yang berbaring di atas dadanya ditiarapkan di sofa. Dia bangkit dan menjawab panggilan itu.

            “Kenapa Stella?”

            “Eh, macamana nak buat laksam Johor?”

            “Aik? Kau ni, tengah-tengah malam mengidam laksa Johor, apa cerita? Tak cukup ke makan barbeku tadi? Anak aku mana?”

            “Raudah dah lama lelap. Saja aku tanya kau malam ni. Takut esok tak menyempat. Hehe..” Zaquan turut tergelak. Tidak disangka, selama ini Stella yang lebih seleranya kepada kebaratan sekarang beralih kepada ketimuran secara tiba-tiba. Dia menyebut satu persatu bahan dan cara-caranya. Sesekali dia tergelak apabila mendengar betapa terperincinya soalan Stella. Bersungguh benar. Dia mundar mandir di ruang tamu itu sambil berbual hinggalah kakinya terhenti menapak. Matanya mencerlung tajam ke arah tubuh Rauf yang bergetar. Segera diterpa ke arah anaknya dengan telefon yang masih di tangan.

            “Ya Allah! Panasnya!!”

            “Kenapa Wan?” soal Stella.

            “Aku.. aku tak tahu. Rauf demam. Badan dia panas. Aku tak tahu..” Zaquan cemas bila melihat tubuh anaknya mengeras. Dia menekan butang loudspeaker lantas mencempung anaknya. “Stella! Kenapa badan dia mengeras macam ni? Mata dia ke atas.” Zaquan tergagap dalam cemas.

            “What?!! Anak kau sawan tu!! Cepat! Pergi basahkan badan dia. Siram dia dengan air! Siram seluruh badan!”

            Kelam kabut Zaquan berlari ke sinki. Kelam kabut tidak tahu membuat apa hingga hampir tersungkur. Sinki itu terlalu kecil.

            “Cepat Wan!”

Tanpa berfikir panjang, dia berlari ke dalam bilik air dan membuka pancuran air. Tidak dipedulikan telefonnya yang di dalam genggamannya sudah basah. Airdari pancuran terus mengalir membasahi dia dan Rauf yang masih menggigil dan kejang di dalam pelukannya.

            “Ya Tuhan.. anak ayah. Rauf anak ayah..” Zaquan sudah merintih penuh sebak. Dipeluk erat anaknya di dadanya. Sungguh fikirannya kacau. Dia risau dengan keadaan itu. Kata-kata ibunya dan Qasidah bermain-main di fikiranmembuatkan ketenangannya punah. Seluruh tubuhnya basah hinggalah apabila kedengaran tangisan Rauf, dia mampu bernafas dengan lega. Tersedu-sedu dia menangis sambil menyandarkan tubuh di dalam tab mandi itu.Tangisannya bergema dengan tangisan Rauf yang sayu. Sungguh, dia terasa semakin rapuh.

SELEPAS menukarkan baju Rauf dan menidurkannya, Zaquan mencapai telefon bimbitnya yang sudah basah. Kena beli telefon barulah nampaknya. Beberapa ketika kemudian, dia terdengar bunyi kereta diparkir di luar rumahnya. Segera dia menuruni tangga dan menghampiri pintu rumah namun dia agak terperanjat melihat pintu itu separuh terbuka. Dia melangkah keluar. Terlihat wajah bimbang Stella yang baru tiba dengan seorang lelaki yang agak asing dari pandangannya.

            “Kenapa Stella?”

            “Aku call kau banyak kali tak dapat. Rauf macamana?” Zaquan agak terharu melihat keprihatinan sahabatnya itu sedangkan jam sudah beranjak ke 1 pagi.

            “Terima kasihlah. Pertama kali dia kena sawan macam tu. Mungkin sebab panas sangat demam dia tapi aku sudah tidurkan.”

            “Yang kau basah lencun juga, kenapa? Aku suruh siram anak kau je, yang kau main air sekali buat apa?” seloroh Stella. Dia mengerti betapa menggelabahnya kawannya yang seorang itu.

            Bila Stella memperkenalkan lelaki di sisinya, Zaquan tahu lelaki Cina itu pasti istimewa di hati Stella. Manakan tidak, wajah Stella kemain merah apabila diusik lelaki itu. Mereka menolak ketika dijemput masuk dikeranakan malam sudah lewat dan lelaki itu ingin pulang ke Johor selepas menghantar Stella ke rumahnya. Oh, sekarang, persoalan selera ketimuran Stella sudah berjawab. ‘Pandai ye kau, Stella.’ Zaquan berbicara melalui gerak mata dan dibalas dengan jegilan mata Stella yang manis berambut kerinting itu.

            Selepas mereka pergi, Zaquan masih cuba mengingati jika dia ada terlupa untuk menutup pintu. Hairan juga. Sebelum melangkah ke tingkat atas, dia terhenti seketika. Memandang ke arah pintu bilik khas untuk isterinya. Pintu itu terbuka! Dan dia yakin, dia tidak pernah lupa untuk menutup pintu itu setiap  kali keluar dari situ. Hatinya bergoncang. Sesuatu terlintas di fikirannya. Takkanlah..

            Dia menerpa ke bilik itu dan katil yang selama ini berpenghuni sudah kosong! Dia terduduk di lantai dengan tangan yang menggeletar. Kejutan demi kejutan diterima membuatkan fikirannya bercelaru. Dia segera berlari keluar. Tidak mungkin isterinya diculik orang. Untuk apa? Jadi, mungkinkah Adira sudah sedar dan melangkah keluar dengan sendiri?

            Zaquan mengelilingi taman perumahan itu sambil melaung memanggil nama Adira. Sesekali dia tersungkur di jalan tar kerana langkahnya yang longlai. Bimbang, resah, gelisah, gembira, sedih, semuanya bercelaru! Kakinya yang pedih kerana berkaki ayam tidak dipedulikan.

            “Adira!!” dia menjerit sekuat hati sebelum tersedu-sedu menangis. Teringatkan telefon bimbitnya yang sudah rosak, dia menjerit lagi, melepaskan geram lantas dia rebah ke atas rumput. Terbaring sambil memandang langit malam.

            “Tuhan.. bukankah Kau lebih tahu..” dia merintih. Dia menangis sepuasnya. Terasa diri begitu lemah dan kerdil. Simbahan lampu kereta membuatkan dia terduduk. Kereta Stella. Stella keluar, menerpa ke arahnya sambil menangis. Hairan juga dia, kenapa Stella menangis.

            “Stella.. Adira hilang. Adira takde.. Aku takut. Aku takut aku kehilangan dia. Aku tak bersedia. Aku tak tahu nak cari dia kat mana lagi. Aku tak tahu..” dia masih tersedu di hadapan kereta. Gary yang menghampiri menepuk-nepuk bahunya, menenangkan hatinya yang galau.

            “Wan, dia ada. Adira ada. Dia ada dalam kereta. Aku jumpa dia kat hujung taman, jalan tanpa arah.” Bagaikan arus elektrik, Zaquan bangkit, memandang Stella sedalamnya meminta kepastian sebelum menerpa ke dalam kereta. Kelihatan Adira tersandar lemah.

            “A..aa.. Adira..” dia terkaku. Bilamana Adira mengangkat wajah yang basah dengan air mata dan mereka bertentang mata, hatinya bagai sudah dipateri. Tiada wanita lain baginya selain Adira, isterinya.

“DIA TAK nak jumpa kau.” Ucapan Isaac itu membuatkan dia keliru. Kenapa? Kenapa Adira tidak mahu bersemuka dengannya. Tidakkah isterinya itu tahu betapa dia sayangkan dan rindukan isterinya? Selama ini, dialah yang menanti setiap pagi untuk melihat wanita yang dicintainya itu bangkit semula. Sekarang, Adira  hampir sembuh, lalu kenapa?

            Isaac menghalang tubuhnya dari merempuh masuk ke dalam wad. Mereka hampir bertelagahhinggalah Stella datang dan menenangkan keadaan.
            “Aku rasa, kau patut tunggu dan biarkan dia buat sementara. Dia masih terkejut tu,” nasihat Stella.

            “Aku sudah menunggu diabegitu lama! Hampir 2 tahun Stella!!” Zaquan hilang sabar. Dari cermin telus pandang, dia dapat melihat Adira sedang duduk di atas katil dengan renungan yang dilemparkan ke luar tingkap.

            “Zaquan Arshad! Mana pergi iman kau?! Sabar boleh tak?Kau kena faham, kena ikut rentak dia. Dia baru sahaja sedar dan kau sendiri pernah cerita kat aku yang kau selalu abaikan dia sebelum dia kemalangan. Hatinya masih berbekas. Mungkin bagi kau itu kisah 2 tahun yang lepas tapi bagi dia semua itu baru semalam berlaku! Jadi, kau kena ambil masa, dan bersabarlah! 2 tahun kat tunggu, takkan beberapa jam kau tak boleh nak bertolak ansur?”

            Zaquan diam. Memejamkan mata sambil menahan nafas. Dipandang seketika Adira yang masih tidak berpaling langsung padanya sedangkan amat mustahil sekali Adira tidak mendengar suaranya yang kuat. Dia terasa kalah dengan diri sendiri. Langkahnya diatur longlai meninggalkan ruang wad itu. Isaac dan Stella saling berpandangan dengan perasaan simpati.

            3 hari di hospital, Adira pulang ke kampungnya di Perlis. Luluh hati Zaquan apabila isterinya itu masih berkeras tidak  mahu bersemuka dengannya. Beratnya hati ketika melepaskan Raudah dan Rauf untuk tinggal bersama dengan umi mereka. Demi kebahagiaan yang masih diharapkan, dia merelakan perpisahan dengan jantung hatinya. Melihat lambaian Rauf, dia sedar semangatnya dibawa pergi. Melihat senyuman terakhir Raudah, dia tahu dia semakin jauh dari senyuman dan tawanya. Kebahagiaannya lenyap ditelan kepulan asap kereta Tunku Sahara.

'Separuh jiwaku hilang..'

            2 bulan kemudian, dia mendapat panggilan dari nenek isterinya. “Adira akan ke China dengan anak-anaknya dan mereka mungkin akan menetap di sana. Kami kat lapangan terbang sekarang. Datanglah, nenek bagi kamu satu peluang sebab nenek tak mampu nak halang dia.”

            Dapur hotel ditinggalkan. Tergesa-gesa dia memandu menuju ke KLIA, balai berlepas antarabangsa. Dia melilau mencari-cari dan akhirnya terhenti bila mendengar gelak tawa suara yang amat dirinduinya separuh mati. Dia berpaling, memandang ke arah Adira yang sedang menyuap Rauf biskut di sebuah kerusi. Kelihatan juga Raudah yang sedang dipangku Tunku Sahara.

            “Ayah!” laungan Rauf mematikan senyuman Adira. Hatinya berdetak hebat. Tidak mampu rasanya berhadapan dengan lelaki itu.

            “Kami masuk dulu ye, Adira. Kamu bincanglah baik-baik,” Tunku Sahara menepuk tangan cucunya sambil mendukung Rauf merapati ayah mereka. Selepas berpelukan dan bersalaman, Raudah dan Rauf hilang dari pandangan bersama Tunku Sahara dan seorang lelaki yang merupakan pembantu Tunku Sahara.

            “Sayang..” suara lunak itu bagaikan bom atom yang meledak di jantungnya. Adira segera meraih beg tangannya dan berlari ke pintu balai berlepas.

            “Adira! Kalau Adira masih ada hati sebagai seorang isteri, tolong dengar apa yang abang hendak katakan!”

            Kata-kata itu bagai ayat magis yang menghentikan langkahnya namun dia sekadar diri tegak membelakangi suaminya. Dia tidak mampu untuk berhadapan apalagi bertentang mata. Dia takut dia tewas dengan perasaan sendiri.

            “Abang minta maaf pada Ira..”

            “Kemaafan itu tidak perlu dari seorang suami,” sinis sahaja Adira meningkah, melawan sebak di dada.

            “Tidak, ia memang perlu. Maafkan abang sebab abaikan Ira. Tak boleh ke Adira maafkan abang dan terima abang semula? Apa lagi yang perlu abang buktikan? Tak cukupkah dengan penantian abang hampir 2 tahun sepanjang Ira tak sedarkan diri?” Suaranya bergetar hebat.

            “Penantian berpuluh tahun pun, sia-sia kalau tak ikhlas. Untuk apa menanti kalau hati sudah meragu?”

            “Apa maksud Ira?”

            “Pergilah. Pergilah kahwin dengan dia yang mampu menerima abang.  Bukan Adira orang yang layak di sisi abang.”

            Zaquan terkelu. Ternyata Adira mendengar perbualannya dengan Isaac dan juga dengan Qasidah. Dia yakin itulah sebab Adira melarikan diri dari rumah malam itu. Ternyata, Adira sudah sedar dari tidur yang panjang pada malam itu.

            “Takkan sebab perbualan yang tak penting itu Adira nak larikan diri dari abang? Nak larikan anak-anak dari abang?”

            Pantas Adira memusingkan tubuh sambil tersenyum sinis sedang air matanya sudah membasahi pipinya yang merah.

            “Perbualanyang tidak penting? Anak-anak awak? Bukan ke sebab saya mengandungkan anak-anak awaklah kita jadi macam ni, kan?! Kalaulah perbualan tu tak penting, kenapa saya rasa sebaliknya? Hebatkan Tuhan. Dia sedarkan saya di saat-saat yang saya perlu dengar dan perlu tahu!” Hilang sudah panggilan abang dari mulutnya. “Pergilah. Lupakan saya. Perkahwinan tidak semestinya sampai ke mati.” Dan Adira terus berjalan laju, melangkah pergi meninggalkan Zaquan.

            “Betapa abang sayangkan Adira dan abang pasti Tuhan lebih tahu!” Zaquan melaung sedikit hingga suaranya sampai ke gegendang Adira yang semakin menghilang. Adira menekup mulutnya, menahan esakan.

            “Adira..” nama itu terkeluar dari bibirnya tapi bukan dengan nada memanggil sebaliknya nada pasrah. Mungkin dia perlu memberi ruang pada isterinya. Zaquan meraup wajahnya sebelum melangkah masuk ke dalam kereta namun alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Qasidah yang berdiri di tepi keretanya.Pasti gadis itu mengekorinya hingga ke situ. Belum sempat Qasidah ingin bersuara, Zaquan terlebih dahulu berbicara.

            “Sudahlah, Qasidah. Jangan murahkan diri kamu. Jadilah wanita yang mahal yang hanya akan dipetik oleh tangan yang mulia dan yang pasti bukan saya orangnya. Cukuplah seorang perempuan, saya tidak mahu terlepas pula perhatian saya pada Allah.”

            Keretanya meluncur pergi, meninggalkan 2 orang wanita yang menangis kerananya. Terasa dia sungguh berdosa dan zalim kepada Tuhan. Kerana menghanyutkan tangisan orang lain kepadanya. Ampunkan aku Tuhan..

3 TAHUN KEMUDIAN.. 5 The Others kini menjadi Aarraz 5 The Others berkembang sebagai sebuah kafe yang terkenal. Ditambah lagi dengan pengurusnya yang kacak dan menyandang gelaran Chef Terunggul untuk tahun itu. Majlis perkahwinan Isaac dengan pilihan ibu bapanya, Freda diadakan di situ. Majlis itu diadakan dengan bilangan tetamu yang terhad. Gembiranya hari itu kerana mereka berlima dapat berkumpul semula. Stella dengan perut yang sudah memboyot, Khusyairi yang datang berseorangan walaupun sudah bertunang dengarnya, Badrul saja yang still single and available. Dan dia, single but not available. Dia agak terperanjat apabila melihat Qasidah. Hampir-hampir tidak dikenali kerana wajahnya sudah agak berubah malah lebih terkejut lagiapa bila gadis itu datang dengan seorang lelaki yang agak kacak dan matang.

            “Suami?” soalnya, sengaja tidak melarikan diri. Biarlah, antara mereka, segalanya sudah 0-0.

            “Tak.” jawapan yang pendek namun padat. Zaquan mengerutkan dahi. “Saya masih menunggu dan sedang menunggu..” Wajah Zaquan berubah sedikit. Takkanlah..

            “Eh, darling!” Khusyairi menerpa ke arah mereka. Membulat mata Zaquan bila melihat Qasidah yang tersenyum malu. Macam Ayu Raudhah pula wajahnya.

            “Kemain kau darling!” Zaquan menampar bahu Khusyairi sekuatnya. Lelaki itu mengaduh sakit sebelum lelaki di yang datang bersama Qasidah tadi berdehem kuat.

            “Ehehe.. ni abang ipar aku. Eh, maksud aku BAKAL abang ipar. Ni la tunang aku. Dayang Qasidah binti Hazmani.” Khusyairi tersengih sambil bersalaman dengan abang Qasidah. Tidak menyangka sebenarnya Qasidah sudi datang atas pelawaannya walaupun siap dengan 'bodyguard'nya sekali. Aish, kacau daun!
            Zaquan tersenyum sambil mengucap syukur dalam hati. Tidak sangka pula si Qasidah ini boleh pulatersangkut dengan ‘Daun Kucai’ yang tidak cukup zat ini.  Tidak diduga pertemuan demi pertemuan antara mereka menimbulkan perasaan di hati Khusyairi. Dan Zaquan yakin itu semua bermula dari Langkawi lagi, tempat pertama mereka bertemu.
            “Waa.. macho gila kau hari ni!” Stella menghampiri Zaquan sambil tangannya yang memegang belakang pinggangnya. “Aish, aku tengok muka kau hari-hari, biar anak aku handsome macam kau,” seloroh Stella. Zaquan memang kacak. Dengan kumis yang nipis, kemas dengan gaya rambut yang sedikit dipacakkan serta kot hitam putih mengikut tema. Sangat matang berbanding dahulu setelah hampir 3 tahun tidak bertemu malah sewaktu dia berkahwin dengan Gary, Zaquan tidak menghadirkan diri.

            “Ish, janganlah macam tu! Kalaulah kau bersalin anak kau muka aku, tak ke naya aku kena ligan dengan Gary. Mati aku!” balas Zaquan sambil memimikkan muka cuak pada Gary yang turut menyertai bulatan kecil itu. mereka ketawa. Qasidah dan abangnya meminta diri untuk masuk ke dalam dewan makan.

            “Isaac! Bad!!” Khusyairi melaung nama dua kawan itu meraih menyertai bulatanyang semakin melebar. Isaac nampak tegap bergaya dan berlari anak menghampiri kawan-kawannya. Badrul yang agak pendiam turut masuk ke dalam bulatan sambil tersengih. Melihatkan 5 sekawan itu sudah berkumpul, Gary mengundurkan diri, memberi ruang pada isterinya untuk melepaskan rindu pada kawan-kawan lamanya. Ketika mereka berlima bersatu kembali, bagai terngiang-ngiang lagu yang selalu mereka nyanyikan bila melepak di 5 The Others suatu ketika dahulu.

            “Isaac, kenapalah kau tak kahwin awal sikit. Kau memang saja nak kenakan aku tau! Sudah boyot macam inilah kau buat majlis. Melaram tak habislah aku!” rungut Stella sambil mengusap perutnya. Mereka ketawa besar. Memang kelakar tengok Stella yang selama ini otai tiba-tiba jadi ibu mengandung!

            “Bukan boyot la. Bun.. cit!” Khusyairi mengejek.

            “Diamlah Kucai!”

            “Ganas betul ibu mengandung ni. Tak pasal-pasal bila anak keluar nanti terus nak jerkah doktor.” Dan mereka ketawa lagi apabila Khusyairi mengaduh diketuk kepalanya.

            “Waa.. tak sangka kau dah nak kahwin, Isaac. Touching pulak,” ujar Zaquan sambil berpura-pura mengelap air mata.

            “Eleh, sedangkan dia kahwin dulu sebelum kita semua. Kenapa berguru dengan kau la ni,” balas Isaac merendah diri.

            “Jangan! Nanti jadi suami tergantung macam aku, aku tak jamin..” Zaquan seakan mahu bergurau namun kawan-kawannya diam tidak ketawa sedikit pun. Hanya dia, ketawa yang paling dibuat-buat. Mereka diam seketika. Rasa simpati menjalar. Melihat wajah yang muram itu, menanggung kerinduan yang sarat di hatinya.

            “Ala, kalau macam ni, kau kena berguru macamana nak jadi ayah. Haa, tu memang tak boleh disangkal lagi kehebatan orang tua ni. Tapi, kena berguru sekarang, kalau tak, nanti ada anak orang minum susu Anlene,” Khusyairi cuba menghidupkan suasana dan dia berjaya apabila Stella ketawa besar dan Zaquan menumbuk bahunya perlahan.

            “Kau lagi teruk! Enfamama!” Zaquan tidak mahu kalah.

“Bad, kau ni diam saja. Dari dulu sampai sekarang. Bila lagi nak pecah rekod single ni?” Isaac menegur Badrul yang sedari tadi diam dan ketawa tanpa menyampuk.

            “Hmm.. nah,” Badrul menghulurkan sepucuk sampul berwarna keemasan kepada setiap seorang. “Bad!! Kenapa dah nak kahwin baru beritahu?!!” masing-masing menjerit kegeraman. Dan Badrul hanya menahan telinga mendengar bebelan percuma terutama dari Stella. Dia memang pendiam tapi dia tetap menghargai kehadiran kawan-kawannya yangmembuatkan dunianya meriah.

Selepas puas berbual dan bergelak tawa melepas rindu masing-masing, upacara perkahwinan dimulakan. Sebagai tanda penghargaan terhadap persahabatan mereka yang sudah terjalin sejak di universiti , Zaquan menawarkan diri untuk menyanyi di pentas. Berbekalkan keyboard yang dimainkan Badrul, dia mengalunkan sebuah lagu untuk kawan-kawannya.

We are going to different waysI know it will be hard
we were bestfriends
and now we are ripped apart

I remember the good days we had
throughout these 14 long years
you were there when I was laughing
even when I was sad
But now its all changed
we cant be together anymore
no more 
recipes to exchange
or laughter to adore
no more inside jokes to hear
or gossip in the cafe
now we have a new life to faced
and that’s the worst of them all

I will never forget that smile of yours (5 The Others~)
and how it made me glad
just remember you’ll always be
the bestest friend I ever had

From the bottom of my heart. Special to Isaac, the most wanted hero, Kucai, the green tea, Bad, silent macho guy and Stella, the beautiful one. And me, Zaquan, the.. just me..

Mereka bertepuk tangan dengan ucapan pengakhiran itu. Hanya mereka berlima faham maksud ‘just me’ yang diucapkan Zaquan. Dan mereka berdoa yang terbaik kawan mereka.

When friends are separated through no fault of their own, it is a great source of sadness..

Ketika turun dari pentas, Khusyairi pantas menerpa sambil menumbuk kuat bahu Zaquan hingga dia mengaduh sakit.

            “Apasal yang lain, most wanted la, macho la, beautiful bagai, aku pulak, green tea je?” Khusyairi bagai anak kecil yang tidak berpuas hati.

            “Yela, kat kafe dulu kalau kita lepak sekali, memang tak sah kalau tak minum green tea kan?” balas Zaquan sambil tersenyum. bahunya dipegang kejap. Sesedap jiwa menumbuk orang. Kuat pulak tu.

            “Oh, maksudnya aku ni pentinglah, kan? Kan? Wan? Zaquan?” Khusyairi melayang-layangkan tangannya dihadapan Zaquan yang kelihatan terkaku. Tangannya ditolak ke tepi kerana menghalang pandangannya. Khusyairi berpaling, melihat ke arah yang sedang direnung Zaquan.Jelas, Rauf dan Raudah yang sedang berlari anak ke arah mereka. Bermaksud..

            Zaquan tergamam melihat sesusuk tubuh berjubah labuh hitam anggun berlabuci putih dan dengan juntaian selendang serta wajah yang putih kemerah-merahan itu melangkah menghampirinya. Jantungnya bergetar. Disambut pelukan anak-anaknya. Sungguh dia merindukan mereka hingga bergenang air mata di tubirnya namun ditahan agar tidak menitis di situ. Alhamdulillah, mereka masih mengingati ayah mereka walaupun 3 tahun mereka tidak bersua malah kalau diikut secara logiknya, tak mungkin Rauf dapat mengingati ayahnya namun mungkin kerana hubungan yang erat sedari kecil, kanak-kanak itu tidak kekok dengannya. Rauf didukung sementara Raudah berdiri di sisi, memegang erat hujung kotnya.

            “Rauf rindu ayah! Rauf tak nak jauh dari ayah lagi. Tak nak dah,” kepetahan suara Rauf berbicara dan memeluk erat lehernya membuatkan dia kalah. Air matanya mengalir jua. Dikucup berkali-kali kedua anaknya. Kawan-kawannya sekadar memerhati dari jauh tanpa ada niat untuk mengganggu.

            Wajah polos di hadapannya itu dipandang. Adira masih isterinya. Tidak pernah sekalipun dia terlintas mahu melepaskan isterinya apalagi mencari pengganti. Cukuplah kesilapan mengajarnya erti hidup. “Terima kasih sebab sudi bawa anak-anak saya ke sini. Terima kasih banyak,” ucap Zaquan, perlahan. Tiada lagi perkataan ‘abang’.Sudah terkubur sejak 3 tahun yang lalu. Hujung jarinya menyeka air mata yangmenjadi bukti kerinduan yang ditanggung.

            Adira hanya merenung karpet. Bertahun sudah mereka terpisah, banyak yang ingin diungkapkan namun sekarang, dia termati kata. Bertahun juga lamanya dia mencari jawapan di atas takdir mereka. Dan kini dia kembali dengan satu keputusan namun lidahnya berat malah tubuhnya seakan tidak mahu bergerak. Mereka bergerak ke meja makan. Zaquan sibuk melayan karenah anak-anaknya membuatkan hati Adira sedikit sebanyak tersentuh. Langsung tiada perbualan di antaramereka. Acapkali pandangan mata mereka bertembung namun buat beberapa ketika, dia akan menunduk semula ke bawah. Kalah dengan renungan lelaki itu. Mana mungkin dia tidakmerindui lelaki itu sedangkan itulah suaminya dunia akhirat.

            “Oh, sudah nak masuk waktu Asar. Erm.. ayah pergi dulu ye. Nanti kalau umi lapang, ajaklah umi datang rumah ayah,” ujar Zaquan sambil menggosok kepala Rauf.

            “Ala, ayah nak pergi dah ke? Rauf nak ikut ayah,” Rauf mula merengek.

            “Rauf..” Adira menyebut dengan perlahan namun tegas membuatkan Rauf memuncungkan bibirnya tanda protes tapi kata-kata umi memang sukar dilawan. Nanti didenda tidak boleh makan atau tidak boleh jalan-jalan ke luar rumah.

            Wajah Zaquan berubah mendengar suara lunak itu. Sejak tadi, itulah perkataan pertama yang didengar dari bibir Adira. Suara yang menghantui tidurnya. Dia tidak betah berlama-lama di situ. Mujur sahaja waktu Asar kebetulan sudah hampir menjelang, walaupun lagi 45 minit baru azan akan berkumandang. Dia tidak larat dengan desakan hatinya. Dia langsung tidak bersedia dengan pertemuan itu. Dia menyangka dia sudah berjaya mengharungi semuanya namun dia silap besar. Hatinya masih seperti dulu. Segera dia beristighfar. Walaupun Adira isterinya yang halal namun dia tidak mahu ingatan dan rasa hati pada isterinya melebihi ingatannya pada Tuhan yang telah menemani dan menjaganya selama ini.

            “Ayah akan datang jumpa kami lagi tak?” Raudah bertanya lirih.  Zaquan merendahkan kedudukannya lantas memeluk puterinya itu.

            “Sampai bila-bila pun, Raudah puteri ayah yang paling cantik,” ujar Zaquan. Raudah tersenyum.

            “Kalau Raudah paling cantik, umipula?”

Mereka tersentak dengan kata-kata itu dan saling berpandangan sebelum Adira melarikan anak matanya. Berdebar juga menanti balasan Zaquan.

            “Umi paling terindah.”

Adira terpana namun belum sempat dia berkata apa-apa, Zaquan sudah membalikkan tubuh, berjalan meninggalkan mereka. Rauf yang hampir menangis diraih.

            Zaquan mempercepatkan langkahnya. Dia menahan sebak yang menggoncang. Dia mahu keluar dari majlis ini. Dia mahu bersendirian. Langkahnya dilajukan semakin jauh dari keriuhan rang ramai sebelum mendengar suara gemersik itu memanggil namanya membuatkan langkahnya terpaku di jalan.

            “Abang..” Adira sudah hampir menangis. Ditinggalkan anak-anaknya dengan Tunku Sahara semata-mata untuk mengejar lelaki itu sebelum terlambat.

            “Adira.” Zaquan memejamkan mata dan tanpa berpaling, dia berkata perlahan, “Saya bukanlah lelaki baik. 3 tahun ini sudah cukup mengajarkan saya betapa saya telah mensia-siakan peluang yang diberi. 3 tahun saya tidak jejak langsung awakdi sana. Sebagai menghormati keputusan awak untuk pergi sekalipun hati saya sakit. Cukuplah kerana seorang perempuan. Saya tak nak menangis dan merayu kerana seorang perempuan lagi sebab itu semua hak Allah ke atas saya. Saya tak nak terlalai hinggakan saya lupa Tuhan yang memandang saya setiap masa. Jadi, saya relakan kalau awak nak pergi cari kebahagiaan yang sepatutnya menjadi milik awak.”

            Dia kalah lagi. Tubuhnya bergetar hebat. Mengapa begini sekali perasaannya pada isterinya itu. Inikah namanya cinta dan sayang seorang suami? Lama mereka dalam keadaan begitu, diam tanpa apa-apa perkataan. Mujur kawasan itu agak terlindung dari pandangan orang, kalau tidak, mereka pasti menjadi perhatian.

            “Saya pergi dulu,” ucap Zaquan setelah beberapa ketika tidak mendapat balasan dari Adira. Hatinya sudah pedih. Tidak mungkin dia berpaling untuk memandang wajah itu lagi.

            “Awak nak pergi mana?” tiba-tiba terpacul ayat dari bibir Adira.

            “Surau. Sembahyang Asar.” Zaquan menjawab juga walaupun dia agak hairan dengan pertanyaan itu.

            “Boleh awak imamkan saya?”

            BUKK!!

Zaquan hampir mencium tanah. Mujur kedua tangannya berfungsi dengan baik. Lututnya terasa pedih terhempas ke batuan keras. Adira segera menerpa.

            “Awak tak apa-apa? Ada luka? Sakit kat mana-mana?” Adira bersuara cemas sambil membelek-belek tubuh suaminya. Zaquan berhenti bernafas apabila wajah itu berada di hadapannya. Dekat.

            “Awak, cakaplah! Jangan diam saja!” marah Adira. Dia tergamam seketika bila mata lelaki itu berkaca-kaca.

            “Hati saya terluka..” Zaquan memegang dadanya. Sebak menggoncang.

            “Maafkan Adira..” segera diraih tangan yang masih berpasir itu dan disalami. Dikucup penuh emosi. Semakin sebak bila ubun-ubunnya disentuh perlahan.

            “Ira tak nak sembahyang berimamkan orang lain. Ira nak abang saja. Ira nak abang pimpin Ira jadi isteri terbaik.”

            Tubuh itu ditarik ke dalam dakapan. Didakap seeratnya bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Mereka menangis bersama di atas tanah berpasir itu.Tiba-tiba terdengar sorakan beserta tepukan tangan.

            “Wahh!! Kajol dengan Shah Rukh Khan!” kedengaran dari jauh suara Khusyairi melaung.

            “Romeo Juliet!” Stella pula menggiat. Aish, kacau line!

            “Shah Jehan bersama Mumtaz!” Badrul tidak mahu lepas peluang.

            “Bagai Penang dibelah dua.”

            “Aik?” Mereka memandang hairan ke arah Isaac sebelum ketawa meletus. “Kenapa?” Isaac menggaru kepala, tidak faham.

            “Habislah peta Malaysia kalau Penang dibelah dua. Pinang dibelah dua la!” Badrul terkekeh sambil menekan perutnya. Kini, mereka terdiam kembali. Tercengang melihat Badrul yang seakan berubah watak.

            “Erk?” menyedari keterlanjurannya, Badrul menunduk, tersipu malu. Akhirnya dia pula jadi bahan digelakkan.

            “Woi, kacau line! Siot saja korang ni!” laung Zaquan. Dia malu sebenarnya bila memikirkan jika kawan-kawannya melihat babak tadi.

            “Alah, sudah jiwang, nak cover malulah tu!” jerit Khusyairi sambil ketawa. Adira sudah memalingkan wajahnya, menahan malu.

            “Takpelah, berguling la korang kat tanah itu sesuka hati. Suami isteri kan? Lepas tu jom masuk ambil gambar. Jom, beramai-ramai. Nanti takde dah peluang macam ni,” laung Isaac pula sambil melangkah ke dalam.

            “Jom bergambar, lepas tu kita pergi sembahyang.” Zaquan bangkit sambil menarik Adira berdiri di sisinya. Lengan isterinya digenggam erat dan dipimpin menuju ke pintu dewan. Adira merelakan sambil tersenyum dengan hujung mata yang masih basah.

            “Aaraz stand for Adira, Rauf, Raudah and Zaquan.” Zaquan tersenyum ketika mengucapkannya tanpa memandang ke arah Adira yang tersenyum.

            “Kenapa double A?”

            “Kerana Allah itu di hadapan sekali.” Jawapan tulus dari suaminya.

            “Abang,” Adira menarik sedikit lengan suaminya agar wajahnya dipandang kembali. Zaquan berhenti melangkah dan memandangnya, redup.

            “Terima kasih.” Dan mereka tersenyum bersama.

            “Woi, sudah-sudahlah tu senyum sengih sengih. Nanti balik rumah, sengihlah sepuas hati korang!” laung Khusyairi dari atas pentas. Dia sudah siap berdiri di dalam barisan untuk bergambar.

            “Kurang asam kau Kucai!” Zaquan berlari anak ke arah pentas lantas dia memanjat ke belakang bahu Khusyairi dan diluku kepala lelaki tidak cukup zat itu. malu sebenarnya kerana laungan Khusyairi meraih pandangan orang lain terhadapnya. Dan mereka bergambar bersama-sama hinggalah di akhirnya, mereka bergambar 5 orang sahaja. Zaquan sempat menjeling ke arah isterinya di hujung meja.

Dalam hati, dia merasa syukur yang teramat sangat kepada Allah, Tuhan yang setia pada hamba-hambaNya.Selepas dia merasa redha & membetulkan semula niat perjalanan hidupnya, Dia mengembalikan semula segala yang hilang. Sungguh, takdir hidup manusia itu bagaikan ombak di lautan. Sekejap bergelora, sekejap tenang. Pahit, manis, masam, kelat, tawar, masin, lumrah hidup manusia di dunia. Sebagai hamba, kita perlu mengikut rentak tanpa sebarang tanda soal kerana setiap detik yang berlalu dan setiap apa yang berlaku, Tuhan Lebih Tahu..

“Ahhhh!!” Stella menjerit panjang sambil memegang perutnya dan pinggangnya. Gamat seluruh dewan dibuatnya. Gary pula sudah meloncat macam tupai terbang dari atas pentas. “Anak nak keluar dah!!” Dan lautan pun bergelora. Alhamdulillah..




seronokkan tengok hepi family :'')


    
Hak Cipta Terpelihara : Hzinnirah
................

dalam perkahwinan akan pasti ada masam manis dan pahitnya. apa pun yang terjadi, rasa-rasa yang menyelit di dalam hati (kami tak serasi, mungkin bukan jodoh kita, aku tak layak untuk dia) sebenarnya adalah KESILAPAN di dalam hidup yang akan menjadi guru buat kita. kalau boleh, biarlah perkahwinan hanya sekali untuk seumur hidup (lainlah lelaki kan. 4 kali tuu..)

 ujian yang datang sebenarnya akan menambahkan lagi kemanisan rumahtangga. hadapi dengan hati yang berharap pada Allah, insyaAllah akan selamat hingga ke hujungnya.

wanita yang berpantang ni lepas dia bersalin, satu badan dia sakit, lemah dan tak stabil (walaupun kebanyakan orang rasa diri ok je.) rasa ok sekarang tapi kalau tak jaga betul-betul, 5-10 tahun akan datang dah rasa macam warga emas. sakit tulang dan sakit urat macam ku (T__T) so, untuk suami-suami, take care isteri-isteri yang tengah pantang tu ya. baru lepas mengadap malaikat maut kot!

Dan isteri-isteri, janganlah ambil kesempatan pulak! Selagi mampu, buatlah. Allah suruh hiburkan suami, Allah jugalah yang memberi kesihatan pada kita, kan?

Sayang suami? biarlah kerana Allah :)

FOTOGRAFI : OUTDOOR EXPERIENCE?

Salam. Jangan lupa,
Allah Mencintaimu..

1 ulasan:

  1. Haru sgt bace pat due oram pakcik jage Rauf tuhh.. *geli usus*

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan (^^,)
Sila-silalah tinggalkanlah jejak kalian di sini
supaya mudah ku membuat kunjungan semula.