Jumaat, 31 Oktober 2014

[ Perkahwinan ] 5 Rahsia Mengekalkan Perkahwinan

Bismillah..


Bahagia. Suami bermain dengan anak-anak, isteri setia mengurus rumahtangga, anak-anak berlarian gembira.
Serabut. Balik kerja rumah bersepah. Dapur tidak berasap. Bil-bil bergantungan minta dibayar. Telefon kehabisan kredit.

Suka dan duka silih berganti. Nikmat melatih rasa syukur, ujian melatih rasa sabar.

Bagaimana cara untuk merasai kebahagiaan berpanjangan? Bukan hanya di awal perkahwinan, bukan hanya di waktu menerima cahayamata. Bahagia saat susah. Bahagia saat poket kering. Bahagia saat bertingkah berlainan pendapat.

Suami memimpin isteri, maka isteri
mengikut dengan taat setia berlandas syariat agama

Sedang ku mengorek almari buku Kak Long yang sudah berbau kertas lama, menandakan buku-buku lama itu sudah lama tersimpan di situ. Menyelak helaian demi helaian hingga terjumpa artikel yang rasanya amat berguna ku kongsikan di sini daripada biarkan ianya tersimpan di dalam almari 'harta karun' Kak Long. Ku ringkaskan nota huraiannya untuk perkongsian yang lebih santai (^^,)

Majalah Perempuan | keluaran Oktober 1993 | Bil:46 Artikel oleh Kapt. Burhanuddin bin Abdul Jalal | KOR Agama ATM

(ku berusia 1 tahun 5 bulan waktu artikel ini diterbitkan *hihi* )


Rahsia bahagia untuk jangkamasa yang panjang adalah dengan meletakkan rempah KEBERKATAN dan RAHMAT dalam rumahtangga melalui 5 cara :

1) Menghidupkan suasana dan budaya Islam di antara ahli keluarga

:: aspek ini termasuklah sentiasa bercakap, berakhlak dan berfikiran secara Islam. Satu perkara yang paling mudah untuk diamalkan dalam hidup sesama keluarga ialah budaya memberi salam.
Contoh : apakata tukarkan ucapan good night dengan ucapan salam?

"Wahai Anas, berilah ucapan salam kepada ahli keluarga mu nescaya diri mu dan ahli keluarga mu mendapat berkat."

2) Membaca Bismillah ketika masuk ke rumah

Jangan kita tak tahu, punca keretakan rumahtangga bukan hanya dari orang ketiga, ahli keluarga yang tidak suka, orang yang hasad dan lain-lain tapi salah satu sebabnya adalah dari syaitan.

Bila syaitan masuk dan tinggal bersama, confirm-lah kan dia akan berusaha sekuat-kuatnya buat huru hara dan kacau-bilau dalam rumahtangga kita.

Rasulullah sudah ajar, kalau nak masuk ke rumah kita atau rumah orang lain, didahului dengan salam dan lafaz Bismillah walaupun tiada orang dalam rumah. Ada malaikat penjaga di dalam setiap rumah orang yang berzikir mengingati Allah.

Satu lagi amalan yang disarankan, menutup setiap tingkap dan pintu di waktu senja kerana di waktu itulah syaitan paling banyak.

3) Banyakkan membaca Al Quran di dalam rumah

:: ya, kita sibuk cari duit, urus anak, itu ini. Paling tidak pun, tetapkan jadual untuk bacaan Al Quran. Yassin di setiap malam Jumaat atau bertahlil di malam Isnin. Kalau boleh set masa untuk cerekarama 2 jam atau drama 1 jam, takkan untuk baca Quran 10 minit pun payah, kannn?

"Sesungguhnya rumah yang sentiasa dibaca ayat-ayat Al Quran di dalamnya memberi kelapangan kepada ahlinya, banyak berkat, ianya dikunjungi oleh para malaikat dan keluar darinya syaitan-syaitan dan sesungguhnya rumah yang tidak dibaca Al Quran di dalamnya membawa kesempitan kepada penghuninya, sedikit berkatnya, keluar darinya oleh para malaikat dan masuk ke dalamnya para syaitan."
Hadis riwayat Abu Hurairah

Pernah jumpa orang yang rumah luas, kaya tapi merungut lemas, serabut, panas dan lain-lain. Jangan sampai kita pun jadi macam tu tau..

Istiqamahlah walau sedikit. Lama-lama menjadi rutin hingga akhirnya rasa 'tak sedap' saja bila tak baca Al Quran macam terlepas siaran Berita jam 8 malam!

4) Banyak mendirikan sembahyang sunat di rumah

:: ya, beres 5 waktu yang wajib. Cuba baca artikel dari Keretamayat ini. Ku tertarik dengan hujahnya yang ringan walaupun berat. (Macamana tu??)

Sungguh, cara ini boleh mengeratkan 'hubungan hati' sesama ahli keluarga. Tak adalah tengok saja rasa nak marah, kan?

5) Memastikan rumah dalam suasana bersih dan teratur

:: salah satu cara untuk 'menjemput' malaikat mengunjungi kediaman kita.

Di dalam artikel ini ada disebut mengenai larangan Rasulullah untuk tidak menghiasi rumah kita dengan perkakas dari emas, perak atau hamparan sutera tulen.

Berkata Abu Huzaifah, "Rasulullah telah menegah kami dari minum di dalam bekas emas dan perak dan makan di dalamnya dan dari memakai sutera tulen dan berhias dengannya dan duduk di atasnya dan baginda bersabda, itu adalah untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kita di akhirat."
Senang kata, hidup biarlah bersederhana. Tak membazir, tak perlu berpeluh dahi, tak ada orang dengki, kurang risiko pecah rumah.

Syurga Sebelum Syurga, semoga menjadi nyata. InshaAllah



Kredit gambar : @kakitembak_fotografi (instagram)

psstt.. antara tips 'mengikat' suami adalah dengan menjaga perutnya. Rajin-rajinlah belajar memasak ya :)


 Salam. Jangan lupa,
Allah Mencintaimu..

2 ulasan:

Terima kasih atas kunjungan (^^,)
Sila-silalah tinggalkanlah jejak kalian di sini
supaya mudah ku membuat kunjungan semula.