Ahad, 23 November 2014

Cabaran | Nov : 11 Menu Pasar Malam | Inspirasi Sis Khaty R'Bain

Bismillah..



Kak Kathy ada bagi cabaran November. 11 senarai idea untuk karang entri. Tapi, ternyata ku tak sesuai nak sertai Day Challenge bagai ni sebab bukan setiap hari dapat menatap laptop.

Lagi pula bila ku baca, ternyata bukan semua boleh ku tulis. Contohnya 11 filem kegemaran, oh, ku bukan kaki filem. Kering idea nak menulis. Lepas tengok cerita best, lupa terus tajuknya. 11 artis kegemaran, lagilah tak tahu. Ada la suka beberapa retis macam pelakon Zaryn Minn, Johan RL, penyanyi seperti GH, RH, OST (lagu-lagu tertentu) dan errr..

Tapi, alhamdulillah ada peluang untuk menulis salah satu tajuk dari 11 senarai tu [ 11 Jenis Buah Yang Disukai ] tapi ku tulis dulu idea yang diubah sikit dari idea-idea Kak Kathy ini. Dan haruslah tentang makanan. *hewhew*

Maaf ya Kak Khaty ubah-ubah sikit idea akak ni.


Dan rasanya macam seronok pula bila menulis tentang makanan, ala-ala macam Heliza dan Farah dalam Rasa Halal Orient tu. Boleh feeling feelong macam Oasis. (^__^)v terima kasih untuk idea ini ya, Kak Kathy.

Kalian-kalian yang rasa macam perlukan 'batu lompatan' untuk entri sepanjang November, klikk! banner ini. Jom sahut 11 Days Challenge ini. Jangan risau, selang sehari dua setiap entri pun tak apa. Kak Kathy tak marah pun.

Ku khususkan makanan dalam kategori Pasar Malam! Anak Malaysia mana yang tak suka pasar malam? Eh, adalah sangat.. *hehe*

Ini adalah antara entri yang memerlukan banyak blogwalking. Terima kasih untuk semua blog yang terlibat ^^

[ 11 Menu Pasar Malam Kegemaran ]


Suatu hari di Subiaco Central Market, Perth, sedang leka melayan pelanggan berkulit ptuih yang sangat sukakan nasi lemak dan nasi beriyani, ku menerima kedatangan seorang lelaki berambut perang panjang hingga paras pinggang. Kaya dengan senyuman, ku tahu dia adalah pelanggan setia yang selalu take away murtabak dan satay.

Tidak lama kami berbual, dia bertanya,

"Awak dari Malaysia?"
"Ya, awak pernah ke sana?" ku membalas dengan pertanyaan.
"Sudah tentu!" lebar senyumannya. Tak ada gaya rock langsung walaupun berambut panjang.
"Boleh saya tahu, apa yang ada di Malaysia yang tiada di Australia? Sesuatu yang awak rindukan dari sana?"

Dia berfikir sejenak. Sesekali dia menghidu aroma murtabak yang berasap nipis di dalam beg kertas.

"Haaa! Pasar malam!"
"Sekarang bukan ke awak berada di dalam suasana pasar malam?"
"Ternyata tidak! Pasar Malam Malaysia adalah berbeza! Saya suka pasar malam!"

Dan, ku tersenyum. Ku sayangkan negara ini. Mencintai negara salah satu dari perkara yang melengkapkan iman, bukan?

*perbualan di atas adalah terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia.

klikk! di sini untuk lihat suasana SUBIACO : Part 1 - Part 2

[ 11 ] Keropok Lekor



kredit : Real Estet


Antara menu-wajib-beli bila berkunjung ke pasar malam. Ada 2 versi. Tebal dan kurus serta sesuai dihidangkan kepada tetamu.

Kegemaran ku adalah bila keropok lekor dicurahkan sos ke atasnya biar meresap sampai ke isi dalam. Begitu juga yang nipis. Kurang gemar makan bercicah. Suka curah sos sampai hilang kerangupannya.

Dulu beli dengan harga sepuluh sen, kemudian naik sikit, 7 batang RM1. Naik lagi 5 batang RM1 dan baru-baru ini ku jumpa harganya 6 batang RM2. Haihh.. Tak mustahil boleh naik sampai sebatang RM1.

Rasa : sedap dimakan panas-panas, lembut di dalam rangup di luar. Sos yang cair berbanding sos biasa, memberi rasa cili untuk keenakan ikan yang bercampur dengan kekenyalan dari bancuhan tepung.

[ 10 ] Apam Balik


kredit : Mama Tucen

Terbalik kanan, terbalik kiri. Apam terbalik balik memang pilihan dari kecil. Mungkin sebab aby ku selalu beli, sudah jadi makanan-wajib-beli bila kami ke pasar malam. Sekarang sudah wujud macam-macam perisa. Tapi setakat ini ku masih setia dengan apam balik original, lebih-lebih lagi kalau jagungnya banyak!

Biasanya harga hanya sekitar RM2 untuk 4 keping nipis dan RM2.50 untuk sekeping saiz besar.

Sesuai dimakan di waktu minum petang, dalam hujan sejuk-sejuk dan sesuai dihidang pada tetamu.

Kalau kalian sudah beli makanan berat seperti nasi ayam, nasi ayam berempah, mee goreng dan lain-lain, apam balik mungkin patut diletakkan dalam list KIV sebab kalau beli sekaligus, ianya akan men-spoil-kan salah satu menu.

Contoh, kalau makan apam balik dulu, selera makan akan berkurang sebab dah kenyang. Kalau makan nasi dulu, memang dah tak boleh masuk apam balik. Muak.

Antara perisa yang ada :
Coklat
Cheese
Pandan
Pandan Coklat Rice

Dan ku pernah makan satu perisa yang memang memukau. Perisa yang mesti kalian cuba. Apam Balik Pulut Hitam. Kedainya area Upsi di Tg Malim.

Rasa : sedap dimakan panas-panas, gebu dan lembut tepungnya dicampur rasa lemak manis gula dan jagung.  Bagi yang sukakan rasa rangup dan lemak lembut, boleh makan yang versi nipis. Mengenyangkan.

[ 9 ] Bihun Sup


kredit : TopMum
Mungkin terikut-ikutkan En Q. Bila pergi pasar malam, mesti akan duduk di gerai bermeja dan makan bihun sup di situ. Pilihan ku, Bihun Sup Perut (=^-^=)v

Rasa : sama saja sebenarnya tapi suasana yang memberi lebih 'feel'. Setakat ini yang terbaik adalah di Jitra, Kedah. Sos merahnya memang pum pam!

[ 8 ] Sweet Corn


kredit : Kisah Kita
Dari pengalaman ku sebagai peminat tegar Sweet Corn, tips untuk membeli Sweet Corn terbaik adalah

1. Jagungnya gemuk-gemuk, bulat dan padat
2. Kuningnya menyerlah, tidak pucat
3. Bila dipicit, keluar airnya


Jadi, bila kalian tengok pekedai tu buka penutup pengukus, perhatikan keadaan jagungnya. Pelanggan berhak mengetahui kondisi makanan yang dipesannya, kan?

Customer is always cekadak right.

Rasa : dimakan panas-panas, sesuai dalam perjalanan ke suatu tempat yang jauh, makanan santai, ianya memberi 'feel' atau 'mood' baru pada diri. Kehangatan airnya apabila pecah digigit bercampur dengan lemak manis dari garam dan susu pekat, boleh membangkitkan mood ceria. Jika kalian memandu, boleh segarkan diri semula.

[ 7 ] Murtabak


kredit : Selipar Toilet

Susah nak jumpa murtabak yang lebih banyak isi daging/ayamnya. Selalunya bila makan, rasa kubis dan kentang lebih menguasai.

Rasa : emmm.. Rasanya macam 'Ramadhan' kan? Bila makan, memang ada rasa 'throwback'.

[ 6 ] Kuew Teow & Maggie Kuali-Besar-Punya


kredit : Yahoo! News
Sebenarnya nama ni ku reka sendiri. Bertahun-tahun ke pasar malam, ku tak pernah terfikir untuk mencuba menu ini. Hinggalah Ramadan lepas, ku menanti En Q habis membeli, ku tunggu En Q tidak jauh dari gerai ini. Selama menunggu, tengok sendiri secara live bagaimana penjual itu membuka satu persatu bungkusan kuew teow, campak itu campak ini, kacau-kacau, 3 minit sahaja sudah siap satu kuali-besar-punya kuew teow goreng! Semudah 1-2-3. Tak payah rasa-rasa pun. Pro!

Ada 4 kuali. Mee Goreng, Bihun Goreng, Kuew Teow Goreng dan Maggie Goreng.

Rasa : memang berlainan dengan kuew teow yang digoreng dalam kuali kecil dan rasa kehangatannya. Cuba sendiri (=,<)

[ 5 ] Kepak Ayam Madu


kredit : Segalanya Intan

Menu ini walaupun jarang dibeli tapi selalu menjadi sasaran. Dengan asapnya yang seakan mengejar kita supaya tidak berlalu begitu sahaja, siap melekat lagi kat baju hinggakan bila sampai di rumah, rasa rugi pula tak beli tadi. Warna merah menyala dengan tompokan hangit membangkit selera. Ku selalu pilih kepak ayam yang bersaiz kecil.

Makanan yang 'bersepah'. Perlu bersedia untuk mengotorkan kedua belah tangan dan kurangkan level keayuan makanya lebih baik makan di rumah sahaja. Risiko sos terkena tudung dan tercekik tulang juga berkurangan. *hihi*

Rasa : saat inilah madu berperanan. Bergaul dengan rempah cili, asap arangnya menaikkan rasa ayam itu sendiri. Lebih segar ayam itu, lebih rasa madunya.


[ 4 ] Air Tebu


kredit : Leeyana Aziz

Berdasarkan pengalaman juga, beli air tebu yang warnanya hijau pekat. Biasanya kalau hijau kekuningan atau hijau coklat, rasanya sudah tidak 'mantap' seakan terlalu tua dan kehilangan rasa asli tebu itu sendiri.

Rasa : menyegarkan!

[ 3 ]  Tepung Pelita


kredit : Its My Life

Pernah ada satu era di waktu Ramadhan, Tepung Pelita Paya Jaras. Memang sedap. Setiap hari di bazaar Damansara tu, mereka jual berbekas-bekas. Ku agak dalam 500-1500 biji sehari mereka jual.

Dulu ku gelarkan namanya kuih sampan. Sebab bentuknya macam sampan. Memang kegemaran dari kecil. Tapi kalau terbeli yang versi bajet-bajet (tak cukup bahan) memang rasa membazir sangat.

Rasa : lemak manis. Sedap dimakan pada suhu bilik mahupun sejuk. Keseimbangan lemak masin bahagian putih dan lemak manis bahagian hijau memberi rasa 'light and joy' ditambah lagi dengan wangian daun pandan asli memberi rasa 'desa'.

[ 2 ] Spin Potato/Kentang Pusing


kredit : Eyfa Alia

Menu ini bukan Kentang Putar ya. Tapi kentang yang dipusingkan sampai jadi berkeping-keping. Pertama kali rasa benda alah ni di Pasar Malam Padang Sera. Waktu itu, harganya masih RM1. Baru-baru ni beli di Pasar Malam Subang, dah jadi RM2 tapi rasanya masih sedap!

Rasa yg memukau bila digabungkan sos dan mayonis kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik yang panjang. Mudah untuk makan (^^,)

Rasa : Rangup dalam kelembutan, rasa lemak manis dan bau kentang yang meresap selera.

[ 1 ] Menu Baru!


Setiap kali berkunjung ke Pasar Malam, ku akan cari menu baru. Makanan baru. Mungkin yang pelik. Mungkin yang tak pernah hendak dicuba.


Jadi, buat peniaga Pasar Malam sekalian, jangan takut untuk berinovasi dalam perniagaan kalian. Ramai pelanggan sudah berani dan mahu mencuba sesuatu yang baru.

Keseluruhannya, inilah entri ajet-ajet makan macam orang lain tak pernah cuba. ?*hihi* have fun! release..

psstt.. buat peniaga pasar malam, juallah makanan yang dimakan, bukan hanya utk dijual. pelanggan akan sanggup datang semula. ^^,

Salam. Jangan lupa,
Allah Mencintaimu..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas kunjungan (^^,)
Sila-silalah tinggalkanlah jejak kalian di sini
supaya mudah ku membuat kunjungan semula.