Selasa, 6 Januari 2015

UK | Januari : Kehilangan, Demam, Sg Buloh, Rasa Bersalah, Ketam, Stress.

Bismillah..

saksi

Ini bukanlah entri pertama untuk 2015 tapi entah macamana nak buat, blog ini ada masalah tarikh. Patutlah auto-publish tidak berfungsi. (T__T) siapa tahu bagaimana nak selesaikan masalah ni? Tarikh di laptop dah betul, masalahnya memang di blog. Ingatkan auto-set masa dia. Hingga entri I Januari menjadi entri 31 Disember pula.

Lama terasa tak menaip untuk entri baru. Mungkin akan menjadi panjang. Beware. Pengakhiran 2014 sedikit huru-hara. Peristiwa itu dan ini. Umum dan peribadi. Termasuklah saat bilamana Encik Q diserang demam yang teruk pada malam Ahad, 28 Disember selepas pulang dari pasar malam, meredah rintik hujan.


29/12  : suhu badan Encik Q semakin panas. Ku terpaksa membatalkan niat untuk menyelesaikan urusan sekolah yang sudah dibuka untuk pendaftaran. Disebabkan Encik Q memang mudah demam sejak kecil, ku sangkakan dia akan sembuh seperti sebelum ini. Biasanya demam yang paling lama pun hanyalah 2 hari.

Seperti biasa, bancuhan air barli panas ku sediakan dan memaksa kecil agar dia mandi walaupun kesejukan. Barli adalah makanan sunnah dan berupaya menguatan sistem imunisasi dalam tubuh, melawan penyakit. Mandi juga salah satu penawar semulajadi yang mujarab bagi demam.

30/12 : Encik Q langsung tak boleh bangun. Panas macam melecur belakang telapak tangan bila mendemahnya. Kerisauan bertambah beberapa tahap. Tak makan langsung, tak nak minum, buka mata pun tak boleh. Solatnya hanya duduk sahaja.

 Dengan hanya berbungkus di bawah selimut tebal hingga menjelang senja, bergerak hanya 2,3 kali. Sesekali merengek, mengadu lenguh sendi dan lemah badan. Ku cuba picit mana yang mampu tapi seolah-olah tangan ku penuh bisa, dia mengelak. Hanya gosok perlahan bagi melegakan lenguhnya. Bimbang melihat dia berbungkus, yang mana ianya hanya akan meningkatkan suhu badannya.

Langkah ku laju dihala ke luar rumah, membuka pagar dengan berhati-hati gaar tidak menimbulkan sebarang bunyi. Tidak mahu Encik Q terganggu dan tidak mahu anak-annak sedar ku meninggalkan mereka seketika. Kedai runcit tidak jauh dari situ menjadi destinasi ku. Laju. Dalam kepala, 100 Plus dan roti serta bahan sedikit memandangkan Encik Q tidak mahu makan nasi. Mengorek tabung kerana tidak ada tunai yang banyak di tangan.

Hampir Maghrib, terpaksa ku ganggu lenanya kerana dia belum menunaikan solat Asar. Bagaikan di awangan, Encik Q mengangkat wudu’.

“Walid boleh solat baring kalau tak mampu nak duduk lama-lama.”

Bagaikan bayang, dia hanya berlalu, mencapai kopiah birunya, membetulkan kain pelikat yang senget bertambah senget, terus duduk bersila bagai bertapa menghadap ke kiblat.

“Walid, boleh duduk bersimpuh tak?” ku menyoal. Tiada respon. Tangannya jatuh ke bawah, tidak kejap di perut. Ku lihat matanya hanya separuh terbuka dan mulutnya turut terbuka sedikit. Bagai berada di alam lain. Berada dalam jarak dekat, ku dapat merasa bahang haba dari tubuhnya. Oh Tuhan..


2.30 am : ku terjaga dari lena yang tidak berapa lena. Terasa ada seseorang merenung ku lantas ku berpaling melihat Encik Q sedang duduk bersandar merenung ku tajam dalam cahaya dari lampu luar yang berbalam-balam. Terkejut sungguh! Terus ku bangkit dan menerpanya.

“Kenapa, walid? Nak apa-apa ke?”

Diam. Tiada jawapan. Matanya tertutup dan selimut ditarik rapat hingga ke dagu. Rasa risau dah mencapai tahap Super Saiya. Bahang dari tubuhnya memang terasa walaupun tidak bersentuhan.

“Walid?” ku cuba membaringkan Encik Q. Keras tidak beranjak.

“Taknaklah.” Garau suaranya. Serak mungkin kerana sejuk.

“Macamana nak tidur duduk. Tak selesalah.” Sedaya upaya ku memujuk.

“Tak nak. Tak nak dah. Lepas ni jangan buat dah. Tak nak.” Mendatar dia berkata.

“Tak nak apa?”

“Tak nak.” Dan bebelan selepas itu kurang jelas. Namun ketika dalam mengantuk itu, ku menangkap ayatnya, “Putih-putih ni, keluarlah. Pergilah. Tak nak. Benda putih ni..”

Tersentak ku dibuatnya. Baru ku sedar sesuatu. Encik Q sebenarnya tengah tak sedar. Meracau-racau dan gelisah. Seram sejuk ku dibuatnya. Pesanan ustazah ku dulu, “Jaga orang sakit baik-baik kerana apabila sakit, terbukanya jalan mudah untuk sihir dan gangguan jin/syaitan untuk masuk.”

Terus ku abaikan kata-kata Encik Q dan mengambil kain demah dan dibilas semula. Saat ku lekapkan di dahinya, tubuhnya tersentak-sentak. Ku bilas dan ingin letak lagi. Encik Q kalau demam memang tak suka dahinya didemah kain.

“Perlahan-lahanlah letak. Sejuk..” ucapnya. Lega. Ku hela nafas lega. Suaranya sudah berubah nada dan rentak. Nampaknya dia sudah sedar.

“Lapar.” Ya, ku tahu. Dah berapa hari tak makan nasi dan hanya minum sebotol 100 Plus dan 2 cawan barli.

“Nak nasi?”

“Tak nak. Barli.”

Jam 3 pagi, ku memerah otak di dapur mereka menu apa untuk menaikkan seleranya. Allah, tolonglah..


31 Dis : masih berat hati nak buat pemeriksaan klinik. Hampa. Payah nak paksa bila orang tua yang demam.

Tekak mula pahit dan ku meminta tolong biras ku pandu ke kedai. Biasnaya bila demam tekak pahit, ubatnya adalah benda segar seperti buah-buahan. Makanan semulajadi, tidak pahit dimakan. Hampir semua bahan ku beli memandangkan biras ku akan terbang ke Australia malam itu jadi nanti tiadalah orang yang boleh menolong ku keluar membeli barang.

Alhamdulillah, pisang menjadi makanan Encik Q sebagai makan malam, sarapan dan lauk tengahari. Minute Maid Pulpy pun habis termasuklah 1 liter 100 Plus. Paksaan air masak tidak berjaya. Seret dahi..

Malam, panas naik mendadak. Encik Q gelisah, berjalan sekeliling rumah, bercakap seorang. Dalam kesibukan, ku terlena selepas beberapa malam tidak mendapat tidur yang cukup apalagi Qaid juga selalu terjaga di waktu malam.

Terkilan rasa bila Encik Q beritahu, dia sakit dada malam itu di tingkat atas dan memanggil ku berkali-kali kerana tidak mampu berjalan namun lena ku tersangat lenaa....


curi masa botakkan Qaid waktu walidnya lena..

1 Jan  : kebimbangan menjadi-jadi bila bangun pagi dan melihat Encik Q di bilik seorang diri, wajahnya lain. Terasa seperti berhadapan dengan orang lain.

Akhirnya ku menelefon ibu mertua dan memaksa dia bercakap dengan mamanya. Lega. Dia akur dengan bebelan mama. Janjinya, selepas Zohor akan ke klinik.

Zohor. Ku menjengah telefon. Banyak betul mesej dari Group Whatsapp, baru berkesempatan melihatnya dan ku tergamam sejenak. Automatik air mata bergenang dan menitis-nitis. Entah kerana emosi yang tidak stabil atau apa, tapi ku menangis teresak-esak dengan berita pemergian abang ipar ku, Tuan Nasaruddin. Bekas guru ku yang banyak jasanya. Orang yang dihormati dan disegani.


perbualan beberapa hari sebeluum..

Terbayang wajah anak-anaknya yang kecil, juga kakak ku Erah yang sedang mengandung dan seorang lagi isterinya yang sedang berada di Jordan. Hiba rasanya tidak sempat menatap wajah suami tercinta.


Balik dari klinik, Encik Q pun terkejut sama dan mengucap panjang. Kemudian bergegas ke Hospital Sungai Buloh kerana doktor di klinik suruh refer ke sana. Susah hati. Macamana dengan anak-anak? Bukan mudah nak ke hospital dengan membawa anak.

Alhamdulillah, umi dan aby sudah sampai kerana rumah kakak ku tidak jauh dari rumah kami. Dalam satu bandar. Ku titipkan Qaid dan Atim pada makciknya.

 Keluar dari kawasan perumahan, berselisih dengan Ambulan Hospital Ikhwan. Sudah pastilah ia membawa jenazah Tuan Nasar. Sebak lagi.



Selepas menanti lama di hospital..


Denggi.

Oh Tuhan.. kenapa tidak terfikir langsung?


3 Jan : masih tiada perubahan. Masih belum surut demamnya dan ada waktu Encik Q meracau. Atim ku biarkan jad dan jaddahnya bawa balik bersama ke Tanjung Malim sementara walidnya tidak sihat.


bersama jaddah

Malam. Terasa sepi. Ku pandang Encik Q yang lena di atas tilam yang kutarik dan letakkan di ruang tamu. Sengaja tidur di bawah supaya ku tidak perlu meninggaljan dia jauh jika perlu ke dapur keran Encik Q pesan untuk tidak meninggalkan dia seorang diri. Ku perasan, dia meracau sesuatu dan tiba-tiba dia terjaga dan terus bangkit merapati ku di sofa.

“Mana diorang?”

“Diorang?” degup di hati mula kencang.

“Ya. Dah balik ke?” Encik Q bertanya dengan muka sembab dan mata yang merah.

“Walid, okay tak ni? Mimpi apa tadi?” ku berlagak tenang. Professional mungkin..

“Memang dari semalam, kita saja ke kat rumah ni?”

“Ya, walid.”

“Kita je? Dari semalam?”

Jawapan apa yang harus ku berikan? Atau ku yang hilang ingatan sebenarnya sebab emosi tak stabil?

Sekali lagi.. seret dahi..

Atas nasihat kawan-kawan yang pernah mengalami demam denggi, ku mula mengkaji sejauh mana kebenaran sup ketam sebagai penawar denggi. Maklumbalas yang bagus dan di internet ramai bloggers yang menceritakan tentang bagaimana sup ketam menjadi penawar baik untuk demam denggi. Dan pling terbaik adalah ketam nipah.

sup ketam. aduh, teringat-ingat..
Waktu ke pasar, memang terasa sangat diri ni tak berguna (T___T) bilamana dalam ketarnya Encik Q terpaksa juga memandu. Bahaya tapi terpaksa sebab Encik tak nak ku meminta bantuan orang lain. Dia kata, dia masih mampu.

Ok, lesen memandu dimasukkan ke dalam wishlist 2015.

Bukan ketam nipah, susah nak dapat. Malam selepas memaksa diri menelan semangkuk 500ml sup ketam, Encik Q mula nampak segar. Katanya, terasa seperti ada sesuatu yang menjalar di setiap uratnya. Bagi ku, itu adalah petanda baik kerana ku tahu punca dia sakit dada adalah kerana darahnya memekat atas sebab kekurangan cecair badan. Atas nasihat doktor dan semangat nak sihat, dia minta ku sediakan botol 500ml sebagai ukuran untuk dia habiskan 3 LITER air masak dalam sehari.

Sup ketam kedua esoknya, Encik Q sudah boleh tersenyum dan makan nasi walaupun deria rasa masih ‘huru-hara’. Kuah biasa seperti air laut masinnya. Pahit bercampur manis.


mula minta menu macam-macam.
biasa masak kari cair, dia nak yang pekat.
kredit utk Kak Azie
Tidur mula lena. Ku berjaga sepanjang malam kerana Qaid pula yang demam namun hati terasa lapang melihat lenanya Encik , tidur seperti malam-malam sebelum ini.

5 Jan : malam. Encik Q dan Qaid mula lena. Ada rindu bertandang memikirkan Atim. Ku seorang ibu :’)

gambar kiriman makciknya

Laptop yang terbuka ku dekati. Folder gambar dan photoshop ku simpan. Cukuplah editing untuk malam ini. Ku ingin menulis entri panjang lebar untuk 6 Januari.

Bagaimana turun dan naiknya perasaan ku Tuhan buat di dalam seminggu ini. Berkecamuk, lega, takut, suram, muram, sebak, kecewa.. dan dalam berbagai peristiwa ini, entah bagaimana ku tersinggung pula dengan seseorang yang ku tak pernah jumpa pun. Fragile. Belum dicampur rasa bersalah dan keadaan diri sendii yang kurang sihat.

Namun, permulaan ini banyak juga mengajar ku. Erti menjadi seorang isteri yang sabar, tenang dan sentiasa bersangka baik dengan Allah. Ada waktu, bukan mudah nak hadam bila kena marah selalu apalagi dengan perkara yang bukan salah kita pun. Orang sakit, memang begitu apalagi denggi, ianya mampu merubah watak seseorang itu.

Permulaan 2015. Struggling.. semoga ada ‘hadiah’nya di tarikh-tarikh yang mendatang. Tenanglah hati..


Psstt.. macamana nak selesaikan masalah tarikh dalam blog ni :(


Salam. 
Allah selalu ada. Kita yang selalu lupa.

4 ulasan:

  1. allah. banayk ujian yang datang. in sha allah allah akan ganti dengan yang lebih baik nanti :D

    BalasPadam
  2. wah lagi teruk.hmm banyak ujian.. lebih kerap kita mengingatiNya insyaAllah :)

    BalasPadam
  3. Tabahnya sis...
    Insyaallah Allah ada sentiasa dekat dengan kita.

    BalasPadam

Terima kasih atas kunjungan (^^,)
Sila-silalah tinggalkanlah jejak kalian di sini
supaya mudah ku membuat kunjungan semula.